Harapan Negara, Nur Dhabitah Mara Ke Separuh Akhir Olimpik Tokyo 2020

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mara ke saingan separuh akhir acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kelayakan di Pusat Akuatik Tokyo pada Jumaat.

Nur Dhabitah menamatkan saringan kelayakan itu di kedudukan ke-10 selepas mengumpul keseluruhan 291.60 mata sekali gus berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik yang layak ke separuh akhir.

Tinjauan di sosial media mendapati nama atlet itu kini trending di media sosial dan rata-rata rakyat Malaysia dilihat berbangga dengan prestasinya.

Menerusi laman sosial, ramai yang meluahkan harapan agar Nur Dhabitah mampu membawa balik pingat pertama untuk negara Malaysia.

Namun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara Wendy Ng Yan Yee yang menyudahkan saingan tersebut di kedudukan ke-20 dengan mata keseluruhan 251.95.

Peringkat kelayakan tersebut didominasi oleh wakil dari China yang juga penyandang pingat emas Rio 2016, iaitu Shi Tingmao dengan 350.45 mata, manakala Wang Han di kedudukan kedua dengan 347.25 mata disusuli penerjun Kanada, Jennifer Abel (332.40).

Aksi separuh akhir akan berlangsung pada Sabtu.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”