Abang Ditikam Adik Apabila Tegur Tunggang Motosikal Tanpa Pengetahuan

Seorang lelaki cedera parah ditikam oleh adiknya menggunakan pisau lipat kerana menegur remaja itu keluar menunggang motosikal tanpa memberitahu kakaknya pada Ahad.

Menurut laman Berita Harian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat kejadian di bawah blok pangsapuri di Taman Putra Damai, Kelana Jaya pada jam 12.08 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa berusia 24 tahun ditemui terbaring di atas lantai dengan kesan darah di dada dan perut.

Polis turut menemui seorang lagi rakan mangsa berusia 19 tahun dilihat sedang duduk di kerusi dengan kesan cedera belakang badan kiri, manakala suspek yang tidak bersekolah duduk di kerusi berhampiran abangnya.

“Menurut saksi kejadian, rakan mangsa turut terkena pisau lipat yang dipegang oleh suspek ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu.

“Suspek akhirnya melemparkan pisau itu di lantai selepas kedua-duanya cedera,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Selepas menjalankan siasatan lanjut, ia berpunca apabila abang suspek berang dengan suspek apabila mengetahui dia keluar menunggang motosikal tanpa pengetahuan kakak mereka.

“Kami menemui sebilah pisau lipat berukuran empat inci yang digunakan oleh suspek dan menahannya sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin untuk permohonan reman,” katanya.

Polis telah membuat semakan dan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (mencuri).

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber: BH

Marcella