Anak Bongsu Mamat Khalid Berduka Tak Sempat Tatap Wajah Ayah

Anak bongsu Allahyarham Mamat Khalid, Ann Khalid merupakan satu-satunya ahli keluarga yang tidak sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Memetik laporan Harian Metro, isteri Allahyarham, Hasmah Hassan berkata, anak bongsunya yang mesra disapa Baby sedang menuntut pelajaran di United Kingdom (UK).

Menurut Hasmah, kini anaknya masih memerlukan ruang dan masa kerana tidak dapat pulang berjumpa bapanya buat kali terakhir.

“Baby paling berduka dan terkesan kerana tidak dapat pulang berjumpa arwah buat kali terakhir. Dia dapat tahu berita bapanya sudah tiada menerusi media sosial.

“Kami di sini pun tidak sempat memaklumkan Baby kerana menguruskan Abang (Mamat Khalid) dan semuanya berlaku dengan begitu pantas.

“Itulah yang membuatkan dia keliru dan masih perlu ruang dan masa. Baby juga rancang untuk pulang menziarahi pusara, namun dalam proses untuk menguruskan semuanya.

“Arwah menaruh harapan besar kepada Baby, jadi walau apa pun yang berlaku, dia harus teruskan impian Abang,” katanya.

Tambah Hasmah, anaknya sedang merancang untuk pulang menziarahi pusara, tetapi masih dalam proses menguruskan segalanya.

Ann atau nama sebenarnya Nur Hassanah Mohamad kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan, University Of East Anglia, Norwich, England.

 

Sumber: Harian Metro

Marcella