Bekas Pengetua Maahad Tahfiz Terlibat 15 Pertuduhan Gangguan Seksual

Bekas pengetua sebuah maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 15 pertuduhan melakukan gangguan  seksual ke atas lima pelajar lelaki sejak tahun lalu.

Tertuduh, Azizul Yahya, 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Tertuduh memaksa mangsa melakukan amang seksual secara fizikal termasuklah…

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu ke atas lima pelajar berusia 12 hingga 15 tahun di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah antara Februari hingga Oktober 2021.

Ia termasuklah, memaksa pelajar melakukan amang seksual fizikal dengan memaksa mangsa menghisap kemaluan, menggosok kemaluan, memegang kemaluan dan melakukan onani serta mencium bibir mangsa.

Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video lucah yang bersifat seksual.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(e) akta sama yang peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah TIDAK menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

 

Sumber / kredit foto: Sinar

Salma Syahbuddin