“Biarlah Ibu Bapa Saya Mengerjakannya Dahulu” – Doa Alif Satar Termakbul Untuk Hantar Ibu Bapa Tunai Haji Tahun Ini

Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar bersyukur apabila doanya termakbul untuk melihat ibu bapanya menunaikan ibadah Haji.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia sebelum ini pernah ke Tanah Suci Makkah menunaikan ibadah umrah dan disana, dia memohon doa agar ibu bapanya iaitu Nor Hafiza Muhammed dan Mohd Satar Ramli dijemput bagi menyempurnakan rukun islam kelima itu.

“Pernah dulu waktu umrah, Alif doa di bawah pancur emas Kaabah, Ya Allah.. Saya bermohon kepadaMu agar menjemput saya kembali ke rumahMu pada musim haji nanti, tapi biarkan lah ibu bapa saya mengerjakannya dahulu.

“Allah sesungguhnya Maha Mendengar segala permintaan hambaNya dan aturan Dia pasti yang terbaik. Jadi hari ini adalah hari dimana Allah memakbulkan satu lagi doa saya, Alhamdulillah,” tulis Alif.

Pada masa sama, Alif memberitahu dia pernah menerima jemputan untuk mengerjakan ibadah haji namun tidak berkesempatan untuk ke sana.

“Dua tahun berturut-turut sebelum ini, Alif dapat jemputan menunaikan haji, tapi dua-dua kali juga Alif tak dapat pergi atas sebab yang tak dapat dielakkan.

“Rasa sedih tu susah Alif nak bagi gambaran,” tulisnya.

Alif juga memohon semoga perjalanan ibu bapanya ke sana selamat dan dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna.

Di ruangan komen, rakan-rakan artis dan pengikutnya turut mendoakan agar dipermudahkan urusan ibu bapa Alif dalam mengerjakan ibadah Haji.

Maya Basir