BKM 2022: Ini Mungkin Berita Baik Buat Golongan Bujang Dan Belia

Bagi mereka yang ketinggalan untuk mengikuti Pembentangan Belanjawan 2022 semalam, ini adalah antara keistimewaan yang akan diberikan kepada golongan belia dan bujang di Malaysia.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 300 juta melalui Program eStart iaitu e-Skim Transaksi Tanpa Tunai untuk diberikan kepada golongan belia.

Manakala, seramai 2 juta belia yang berumur 18 tahun sehingga 20 tahun serta pelajar IPT akan menerima bantuan ‘one-off’ RM 150 yang akan diberikan melalui akaun Touch n Go e-wallet.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan di akaun Facebooknya, golongan bujang juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan bantuan.

Menerusi infografik yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia, sebanyak RM 8.2 billion telah diperuntukkan untuk anggaran 9.6 juta penerima.

Bagi golongan bujang yang berpendapatan kurang daripada RM 2,500, kerajaan akan memberikan bantuan tambahan sebanyak RM350.

Selain itu, kerajaan telah membentuk satu bantuan bernilai RM450 juta bagi pelajar B40 yang dipanggil Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

Melalui bantuan peranti ini, seramai 600,000 mahasiswa B40 akan menerima sebuah tablet dengan kerjasama bersama syarikat telekomunikasi.

Pembentangan Belanjawan 2022 yang berlangsung semalam menuju 3 fokus utama iaitu agenda pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan dan memangkin pembaharuan.

Arfah