Bomba Temui Bayi Lelaki Berusia Setahun Rentung Dalam Kebakaran

Satu kebakaran berlaku membabitkan seorang bayi lelaki berusia setahun rentung di sebuah unit di flat Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, pihak bomba menemui seorang bayi yang dikenali sebagai Adam rentung dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Menurut Ketua Balai Bomba Sandakan, Jimmy Lagung, difahamkan bahawa kakaknya berusia 11 tahun serta ibu dan bapa saudara yang menjaga bayi berkenaan.

Ibu dan bapa kepada dua kanak-kanak itu dikatakan tidak berada di rumah ketika kejadian.

Malah, kanak-kanak perempuan itu juga dipercayai keluar sebentar untuk membeli makanan.

Siasatan awal mendapati, punca kebakaran berlaku apabila penghuni rumah berkenaan menggunakan lilin di setiap bilik kerana tidak mempunyai bekalan elektrik

Selepas menyedari kebakaran itu, semua penghuni berjaya menyelamatkan diri tetapi bayi itu ditinggalkan di dalam rumah berkenaan.

Tambah Jimmy, sebaik sahaja mereka menerima panggilan kecemasan, 17 anggota bomba dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Apabila pihak bomba tiba, didapati api sudah marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat itu.

“Kebakaran ini melibatkan sebuah flat enam tingkat, kebakaran berlaku di tingkat tiga.

“Pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 11.09 malam dan dalam kejadian itu, seorang mangsa bayi berusia lebih setahun ditemui maut dalam bahagian kanan rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jimmy berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.56 tengah malam.

Bagaimanapun, punca kejadian sebenar dan jumlah kerugian berkaitan kebakaran itu masih dalam siasatan.

Sebelum menghantar mayat bayi itu ke bilik mayat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

Sumber: Astro Awani

Kredit Foto: Mamy Assyifa

Marcella