Ebit Lew Bantu Pemuda Kudung Tinggal Di Tepi Jalan

Pendakwah terkenal, Ebit Lew bermurah hati membantu seorang pemuda kudung yang terpaksa tinggal di tepi jalan selepas mengalami kecederaan semasa bekerja dahulu.

Menerusi hantaran Ebit di Instagramnya, dia berasa sedih melihat keadaan seorang lelaki bernama Hock Kian Siong yang tinggal di tepi jalan yang hanya menggunakan zink sebagai tempat berteduh.

Menurut Ebit, lelaki itu sebelum ini bekerja sebagai tukang pembaik penghawa dingin tetapi hilang sebelah tangan selepas alat elektrik meletup.

“Hidupnya semakin susah masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dia telah berkahwin dengan orang Indonesia dan mempunyai dua orang anak.

“Tadi abang Hock menangis kerana rindu isteri dan anak-anaknya, semenjak PKP tak jumpa. Abang Hock memegang kad pengenalan warna biru dan berasal dari Gombak,” katanya.

Jelas Ebit, lelaki itu bersyukur dapat berjumpa dengan Ebit kerana sudah lama menyimpan keinginan untuk bertemu muka dengannya.

“Hari ini Allah kabulkan, sedih bila bab anak-anak. Kami bawa ke penempatan kami dan carikan bilik untuknya, begitulah bahagian ujian hidup.

“Di saat saya rasa sedih berjauhan dengan keluarga sekejap-kejap, ada orang sudah bertahun tidak jumpa anak-anak, telefon anak-anak menangis rindu,” jelasnya.

Dalam hantaran itu, Ebit turut meminta orang ramai agar terus mendoakan abang Hock agar dipermudahkan urusannya.

Marcella