Guru Enggan Divaksin Berdepan Tindakan Tatatertib Atau Ditukar Bermula…

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh sehingga 1 November ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurutnya, ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki semua penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib.

“Kumpulan guru enggan divaksin boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit.

“Senarai guru yang enggan divaksin turut berubah dan kita terus memantau perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu, pertukaran guru perlu dilakukan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, selain memastikan guru yang lengkap divaksin tidak terkesan.

“Sebagai contoh, murid berkeperluan khas memerlukan guru berdamping dengan mereka sepanjang masa.

“Jika ada kalangan guru (mengajar murid berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah kerana kita berpegang kepada prinsip asas iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” jelasnya.

Mengenai program imunisasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata, secara keseluruhannya 80 peratus sudah menerima dos pertama malah ada negeri yang sudah mencapai 90 peratus.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini masih meneliti vaksin sesuai untuk kanak-kanak berumur dibawah 12 tahun.

 

Sumber: BH

 

Salma Syahbuddin