Jangan Bawa Anak Kecil Ke Bazar Ramadan, Elak Jangkitan Covid-19

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menasihatkan agar ibu bapa tidak membawa anak-anak kecil ke bazar Ramadan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Ia perlu bagi melindungi golongan ini terutamanya mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.

“Melihat suasana hari pertama bazar Ramadan di Bagan Serai ini, kami dapati ramai pengunjung membawa anak kecil di tempat yang penuh sesak.

“Kalau tempat sempit ini sebaiknya jangan bawa anak-anak, kita tidak mahu menyambut Ramadan dalam keadaan sedih dan sibuk di hospital,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, data terkini menunjukkan vaksinasi kanak-kanak hanya sebanyak 38 peratus manakala remaja 91.7 peratus dan dos penggalak pula 67.3 peratus.

“Ini menunjukkan vaksinasi membabitkan kanak-kanak masih di tahap yang perlahan dan kami berharap ibu bapa mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka secepat mungkin,” jelasnya.

 

Sumber: Bernama

Salma Syahbuddin