Kes Dadah Zarina Anjoulie Ditangguh Februari Depan

Selebriti sensasi, Zarina Anjoulie yang terpalit dengan kontroversi kes dadah pada Jun lalu hari ini hadir di Kompleks Mahkamah Seremban bersama-sama peguamnya.

Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, hadir bagi mendengar keputusan Mahkamah Majistret Seremban yang menetapkan tarikh 9 dan 10 Februari 2022 bagi memulakan perbicaraan kes dadah miliknya.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret Mohd Firdaus Salleh pada Khamis, selepas peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon perbicaraan dimulakan tahun hadapan.

Pada prosiding tersebut, pihak pembelaan memaklumkan bahawa mereka belum menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara namun, menegaskan tidak mempunyai masalah untuk memulakan perbicaraan.

Terdahulu, pada 13 September 2021 Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine selepas air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.

Dan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Salma Syahbuddin