Mengaibkan Dengan Niat, Polis Buru 4 Individu Persenda OKU

Susulan terdapat empat individu yang tular di media sosial pada Khamis kerana bertindak mempersendakan golongan Orang kelainan Upaya (OKU), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mencari individu terbabit bagi menjalankan siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis sedang mengesan dua wanita dan dua lelaki dipercayai terbabit dengan dua video berasingan selepas satu laporan polis dibuat seorang wanita berhubung tindakan mereka yang turut dipercayai menyalahgunakan kemudahan OKU dalam video itu.

Beliau berkata, video pertama dimuat naik dilakonkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli belah di ibu kota.

“Mereka didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ.

“Satu lagi video memaparkan dua wanita menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka juga bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang,” katanya.

Tegasnya lagi,  pengadu yang membuat laporan polis beranggapan semua individu terbabit menghina golongan OKU di negara ini dan secara terang-terangan tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan ‘lawak’ bagi menarik perhatian pengguna di media sosial.

Kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

ARTIKEL BERKAITAN : “Kamu Berdua Biadap!” – Ras Adiba Beri Amaran Kepada Individu Persenda Golongan OKU

ARTIKEL BERKAITAN : Geng Basikal Wanita Berlakon Jadi Cacat Ingin Masuk Tandas Khas Undang Kemarahan Netizen

 

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin