Mesin Air Mineral Beroperasi Tanpa Lesen Dipenuhi Najis Cicak Dan Serangga

Sebuah mesin mineral alkali tanpa lesen Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar dipenuhi najis cicak dan serangga beroperasi di sebuah kedai makan di Parit Perupok.

Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, Dr Mohd Ridzuan Mohd Lutpi berkata menerusi susulan Operasi Lak/Sita Mesin Jual Air (MJA) yang dilakukan ke atas perniagaan air nano automatik.

Tambahnya, mesin air beroperasi sejak Mei 2020 itu dihentikan sementara waktu sehingga pemilik selesai memohon lesen mengikut Peraturan 360C(4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengendali mesin air berusia 30-an berkenaan dikompaun RM2,000 selain arahan penutupan operasi sehingga dia memperoleh lesen sah daripada PKD,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, lesen tersebut adalah sebagai jaminan mesin yang beroperasi di sekitar daerah Muar berada dalam keadaan bersih.

“Kegagalan pemilik memohon lesen mengendalikan MJA menyebabkan mesin berada dalam keadaan terbiar sekaligus memberi risiko kepada kesihatan pembeli.

”Sebanyak lima mesin air di sekitar daerah ini dikesan beroperasi tanpa lesen selain tahap kebersihannya yang tidak memuaskan,” katanya.

Katanya, dua daripada lima mesin yang diperiksa di Jalan Salleh, Jalan Temenggong Ahmad dan Sungai Abong beroperasi tanpa lesen dan dua Notis 32B dikeluarkan kepada setiap pemilik dengan kesalahan dikompaun RM2,000 bagi setiap mesin.

“Pemilik mesin air mineral yang beroperasi tanpa kebenaran akan diambil tindakan dan tiada kompromi dalam perkara ini. Orang awam dinasihatkan supaya membeli air melalui mesin yang mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir