Paxlovid Sembuhkan Pesakit Covid-19 Tanpa Sebarang Kesan Sampingan

Pesakit Covid-19 yang menggunakan ubat antiviral Paxlovid ternyata berkesan untuk merawat virus itu dan tiada lagi paksaan untuk mengambil suntikan dos penggalak kedua bagi golongan yang berisiko tinggi.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Jawatan Kerja Teknikal (TWG) mengesyorkan pemberian dos penggalak kepada individu berusia 60 tahun dan keatas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela selepas empat hingga enam bulan selepas suntikan penggalak pertama diterima.

Individu dewasa yang berusia 18 hingga 59 tahun boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Tambahnya, remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga boleh ditawarkan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama sudah terbukti boleh mendapat perlindungan optima daripada jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Seramai 173 pesakit diberikan rawatan Paxlovid sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan dilaporkan sehingga 9 Mei lalu.

Khairy berkata, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan rentan ini untuk mendapat jangkitan teruk, dimasukkan ke hospital malah menyebabkan kematian walaupun berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu.

Setakat ini, keutamaan rawatan Paxlovid diberikan kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.

“Pesakit Covid-19 dalam kumpulan yang tersenarai ini boleh hadir ke CAC, Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan dengan rawatan Paxlovid,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Foto kredit: Bernama

Maya Basir