Penganjur Beri Diskaun 40% Untuk Tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir

Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengumumkan diskaun sebanyak 40 peratus untuk harga tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini.

Menurut IRAMA selaku penganjur, berita baik buat peminat penyanyi tersohor negara ini dibuat bagi memberi peluang peminat penyanyi hebat ini hadir menyaksikan konsert terbabit.

Menurut Pengerusi Ayob Abdul Majid, peminat amat bertuah kerana syarikat Zubir Food Sdn Bhd bermurah hati sudi menaja konsert ini.

“Ia menjadikan jualan meja berharga RM5,000 sebelum ini diturunkan kepada RM3,000 dimana seorang individu hanya membayar RM300 termasuk menikmati makan malam yang disediakan.

“Kos selebihnya akan dibayar oleh penaja yang bersetuju untuk menaja 50 meja yang sebelum ini dikenali sebagai meja Silver, namun sekarang dikenali dengan Meja ZK.

“Bagaimanapun meja VVIP dan VIP kekal dengan harga biasa dan pihak kami menawarkan potongan 20 peratus,” katanya.

Selain itu, pembeli tiket sebelum ini akan menerima tiket baharu yang akan di naik taraf menerusi aplikasi Whatsapp atau email dari mereka.

“Sebagai contoh jika mereka beli tiket Gold, kami ‘upgrade’ kepada Platinum,” katanya.

Malah, Konsert ini turut dianjurkan bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sementara itu, M Nasir turut teruja dapat beraksi di depan peminat selepas kali terakhir melakukannya tiga tahun lalu.

“Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu,” katanya.

Konsert ini juga bertujuan untuk mengutip dana IRAMA bagi membantu penggiat seni yang memerlukan.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain