Iedil Dzuhrie Alaudin Seronok Boleh Tukar Angin, Tidak Rasa Terbeban Ulang Alik Jakarta – Kuala Lumpur

Pelakon Iedil Putra yang kini dikenali sebagai Iedil Dzuhrie Alaudin tidak terbeban dengan kehidupan yang sentiasa menjadi perhatian ramai selepas berkahwin dengan seorang pelakon popular Indonesia.

Menurut Iedil, dia dan isteri, Prisia Nasution faham dengan tugas masing-masing sebagai anak seni dan menjalani kehidupan suami isteri seperti biasa.

“Jika lihat di sosial media, saya dan isteri adalah pasangan yang ‘easy going’ dan tidak melihat status kami sebagai satu perkara besar. Kami menjalani hidup seperti biasa dan faham dengan kerja sebagai pelakon.

“Memulakan kerjaya di sana juga menjadi tarikan baharu buat saya dan banyak memberi pengalaman berbeza.

“Saya masih perlahan-lahan belajar tentang cara kerja produksi di sana terutamanya dari segi bahasa,” katanya.

Bagi Iedil, berulang-alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur atas urusan kerja bukanlah satu perkara yang memenatkan sebaliknya lebih seronok kerana boleh selalu bertukar angin.

“Kalau difikirkan tidaklah penat pun sebab penerbangan hanya makan masa dua jam sahaja. Jadi kami boleh ulang-alik jika ada urusan kerja. Tidak ada masalah jika perlu kembali ke Kuala Lumpur.

“Sebenarnya kami pasangan beruntung kerana ada dua rumah. Boleh bertukar-tukar angin. Kalau bosan di Jakarta atau Kuala Lumpur, kami boleh ke tempat lain untuk cari suasana baru,” jelasnya.

Iedil dan Prisia mendirikan rumah tangga di Bogor, Indonesia pada 1 Jun 2016.

Dalam perkembangan lain, Iedil membintangi filem The Assistant bersama Hairul Azreen dan naskhah ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 19 Mei.

Sumber: mStar

Maya Basir