Pelakon Harry Potter Bakal Reunion Dalam Tayangan Istimewa Ulang Tahun Ke-20 Harry Potter: Return To Hogwarts

Tayangan khas filem Harry Potter iaitu Return To Hogwarts bersempena dengan ulang tahun ke-20 filem itu telah diumumkan secara rasmi pada Rabu.

Tayangan istimewa ini merupakan perjumpaan semula karakter-karakter di dalam filem itu yang akan ditayangkan pada 1 Januari 2022.

 


Pelakon utama Harry Potter iaitu Daniel Radcliffe, Rupert Grint, Emma Watson dan barisan pelakon Harry Potter yang lain akan bersama kembali dalam filem ini.

Returns To Hogwarts hanya dapat ditonton di HBO Max manakala tayangan antarabangsa bakal diumumkan kemudian.

Sementera itu, pelakon Harry Potter, Emma Watson yang memainkan watak Hermione Granger berkongsi berita tentang tayangan ulang tahun ke-20 filem itu menerusi Instagram miliknya dengan mengucapkan terima kasih kepada peminat setia Harry Potter.

“Harry Potter adalah rumah saya, keluarga saya, dunia saya dan Hermione (masih) watak fiksyen kegemaran saya sepanjang zaman,” kata Emma di dalam perkongsian Instagram miliknya.

Emma berkata dia berasa bangga bukan sahaja dengan sumbangan mereka sebagai pelakon di dalam francais itu tetapi juga sebagai kanak-kanak yang membesar menjadi dewasa yang telah menempuh perjalanan ini.

Selain Emma, pelakon yang memainkan watak Draco Malfoy, Tom Felton juga turut berkongsi rasa terujanya dengan filem ulang tahun ini melalui akaun Twitter miliknya.

“Beginikah rasa pulang ke sekolah? Tandai calendar anda,” tulis Tom di Twitternya.

 


Filem ulang tahun Harry Potter ini juga dibintangi oleh pelakon hebat seperti Helena Bonham Carter, Robbie Coltrane, Ralph Fiennes dan Gary Oldman, yang memainkan watak Bellatrix Lestrange, Hagrid, Voldemort dan Sirius Black.

Untuk info, filem pertama Harry Potter, Harry Potter and The Philosopher’s Stone ditayangkan pada 16 November 2001.

Arfah