Penggal Kepala Ibu & Sorok Dalam Kotak, Bapa Maafkan Perbuatan Anak “Dia Tetap Darah Daging Saya”

Bapa kepada seorang individu lelaki yang dipercayai memenggal kepala ibunya hingga maut tetap memaafkan perbuatan anaknya itu meskipun berasa sedih selepas kehilangan isteri tercinta.

Bapanya, 61, yang enggan namanya didedahkan berkata, tragedi berdarah itu amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.

“Apa pun dia tetap anak dan darah daging saya. Ini mungkin kesilapannya tetapi apa boleh buat semuanya sudah terjadi kepada keluarga kami.

“Saya hanya mampu berdoa agar anak saya berubah lebih baik, menjadi insan berguna dan menginsafi kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai seorang bapa pastinya beliau sentiasa mahukan yang terbaik buat keluarga namun, apa yang terjadi betul-betul diluar kemampuannya.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku beliau tiada di rumah kerana keluar menjual udang di Kampung Bukit Belimbing.

“Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang rakan. Saya bergegas pulang dan mendapati orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah dan arwah isteri sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Selain itu, bapa kepada tujuh orang anak ini menyifatkan arwah isterinya sebagai seorang yang baik hati, peramah, rajin dan taat beribadah.

“Arwah isteri tidak meninggalkan solat, sering berpuasa sunat dan dia juga ibu yang baik kepada anak-anak kami.

“Arwah juga baik dengan masyarakat dan jika ada kenduri dia antara yang paling awal datang membantu,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan gambar arwah isterinya di media sosial demi menjaga aib keluarga.

Terdahulu, suspek berusia 28 tahun merupakan seorang penganggur yang tinggal bersama ibu dan bapanya.

Suspek bertindak kejam dengan memenggal kepala ibunya yang berusia 56 tahun sebelum melarikan diri di belukar belakang rumah yang terletak di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

 

 

Sumber/foto : Sinar Harian

Salma Syahbuddin