“Saya Inginkan Anak Lelaki Lagi” – Adira ‘Tutup Kilang’ Selepas Cahaya Mata Keempat

Penyanyi Adira Suhaimi yang sedang sarat tujuh bulan mahu ‘tutup kilang’ selepas memiliki empat cahaya mata.

Memetik laporan BH Online, penyanyi lagu Ombak Rindu ini dijangka melahirkan anak keempat hujung September atau Oktober depan berasa cukup jika dikurniakan dua pasang cahaya mata.

“Saya tak mahu hamil lagi, cukuplah empat anak. Suami tak kisah dengan keputusan saya.

“Paling utama, tanggungjawab dalam membesarkan anak-anak sebaik mungkin.

“Bila sudah ada empat anak bermakna makin bertambah tanggungjawab. Apapun, saya berharap semoga urusan melahirkan anak keempat akan dipermudahkan.

“Sebelum ini, saya bukannya nak mengelak mahu mengaku hamil lagi. Bagi yang tahu, tahulah…

“Tetapi, sekarang barulah saya bersedia nak berkongsi. Doakan saya,” katanya.

Teka-teki sejak sebulan lalu mengenai video dimuat naik yang menampakkan ‘baby bump’ akhirnya terjawab dengan pendedahan kehamilan itu.

Menurut Adira, dia bersyukur pengalaman hamil kali ini tidak terlalu memenatkan.

“Saya tidak alami alahan. Berilah makan apa sahaja, semuanya saya telan.

“Walaupun berehat dalam arena seni, namun, saya tetap aktif memuat naik pelbagai hantaran dalam Instagram (IG).

“Kali ini, saya aktif dan agak lasak,” katanya.

Mengulas jantina anak yang bakal dilahirkan, Adira masih belum bersedia untuk mendedahkan.

“Sekarang, saya sudah memiliki dua heroin dan seorang hero. Jika diizinkan, saya inginkan anak lelaki lagi, jadi adalah dua pasang cahaya mata.

“Namun, apapun pemberian Allah, saya terima dengan hati terbuka dan lapang dada,” katanya.

Adira dan suami, Datuk Seri Adnan Abu mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand dan dikurniakan tiga cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, dan Anggun, 3.

Sumber: BH Online

Maya Basir