Skuter Elektrik Dilarang Di Atas Jalan Raya Berkuat Kuasa Serta-Merta

Kementerian Pengangkutan menetapkan larangan penggunaan tiga jenis kategori kenderaan jenis mikromobiliti di atas jalan raya yang berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, larangan itu dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang berkuat kuasa pada 17 Disember lalu.

Beliau berkata, tiga jenis kategori itu termasuklah moped, skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau kuasa manusia serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

“Untuk penggunaan basikal, walaupun tidak dilarang namun ia hendaklah mematuhi semua peraturan yang sudah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi basikal dengan bantuan elektrik atau basikal elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514: Electric Bicycles (Electric Pedal Assisted Bicycles) Specification dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah beliau, percampuran penggunaan kenderaan mikromobiliti dengan aliran trafik bersama kenderaan lain di jalan raya akan menimbulkan risiko seperti tragedi nahas basikal lajak yang meragut nyawa lapan kanak-kanak.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir