Ucap Tahniah Kepada Kabinet Baharu, Tweet Bekas Menteri Agama Buat Ramai Sayu

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yakin dengan barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Dalam satu kenyataan di laman Twitter, beliau mengucapkan tahniah kepada semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua barisan Kabinet, khususnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Zulkifli memohon maaf jika pernah mengguris mana-mana pihak yang pernah bekerja rapat ketika beliau menjawat jawatan itu.

“Mohon maaf kepada semua barisan agensi-agensi agama peringkat Persekutuan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri andai ada yang saya terkasar bahasa sepanjang kita sama-sama bekerja.

“Doa saya moga negara yang kita cintai ini terus makmur, maju dan bangkit kembali pada era endemik Covid-19,” katanya.

Menerusi ruangan komen rata rata warganet meluahkan rasa sayu terhadap ucapan Dr Zulkifli dan berterima kasih di atas khidmatnya sebagai Menteri Agama.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”