Ugut Mahu Bakar Rumah Jika Bapa Tak Beli Burger, Lelaki 29 Tahun Dipenjara

Mahkamah Majistret Selayang pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki yang membuat ugutan untuk membakar rumah jika bapanya tidak membeli burger untuknya dengan segera.

Memetik laporan BERNAMA, Mohammad Adib Akmal Mohd Sauffi, 29 dijatuhi hukuman tersebut oleh Majistret Nur Hafizah Rajuni selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan itu di kediamannya yang terletak di Taman Bolton, Batu Caves, Selangor pada jam 10 malam, Isnin lalu.

Mohammad Adib Akmal diperintahkan oleh makamah untuk menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada Selasa, 28 Disember.

Difahamkan sewaktu kejadian, bapanya keluar membeli makanan dan telah menerima panggilan telefon daripada Mohammad Adib Akmal yang menyuruhnya membelikan burger dan balik ke rumah dengan segera.

Jika bapanya tidak menurut arahannya, dia mengugut mahu membakar rumah yang mereka diami.

Pendakwaan yang dilakukan terhadap Mohammad Adib Akmal mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan M. Mariappan ketika rayuan memohon mahkamah supaya hukuman ringan dijatuhkan kepadanya atas alasan anak guamnya yang merupakan peniaga kecil berpendapatan RM 1,000 sebulan.

Namun, sebagai pengarajan buat tertuduh Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.

“Dalam kes ini, tertuduh mengugut bapa kandungnya sendiri, tertuduh sepatutnya menjaga dan menghormati bapanya bukan mengugut,” kata Timbalan Pendakwa Raya itu.

Sumber: BERNAMA

Arfah