Warga Emas Berkerusi Roda & Anak Didakwa Rogol Gadis Bawah Umur Dalam Kereta

Seorang warga emas bersama anak lelakinya didakwa ke Mahkamah Sesyen Muar pada Ahad, atas tuduhan merogol seorang gadis dalam kereta di Kluang, kira-kira enam tahun lalu.

Menurut Berita Harian, tertuduh, Mohd Hashim Saidin, 77, yang kini berkerusi roda dan anaknya, Muhammad Firdaus Abdullah, 21, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan kepada mereka di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Firdaus yang bekerja sebagai penghantar barang terlebih dahulu merogol remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun, di Jalan Kinabalu, Kluang pada jam 5.15 petang, 25 Mei 2017.

Selepas itu, Mohd Hashim melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sama di kawasan lapang dekat Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada jam 6 petang dengan kejadian berlaku dalam kereta dan hari sama.

Berikutan itu, dua beranak didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos ini sebutan kes dan serahan dokumen.

Kegagalan dua beranak itu membayar ikat jamin, masing-masing sebanyak RM12,000 dan RM15,000 menyebabkan mereka dibawa ke lokap reman, selepas mahkamah menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi