Youtuber Terkenal Mengaku Ambil Iklan Judi Demi Langsai Cukai Pendapatan – “Terpaksa Sebab Darurat!”

Personaliti media sosial dan Youtuber terkenal, Isa Isarb sebelum ini pernah terpalit dengan isu kontroversi sama apabila ada pihak yang mendakwa  kandungan Youtube miliknya itu ditaja oleh syarikat perjudian.

Ini kerana, kandungan video cabaran yang dianjurkannya melibatkan sejumlah wang bernilai RM10,000 itu telah ditaja oleh syarikat perjudian terkenal yang dikenali sebagai M88.

Menurut Isa Isarb menerusi sebuah video yang telah dimuat naik oleh seorang individu yang dikenali sebagai @mr_michael di laman TikTok miliknya, dia dilihat mengakui terpaksa mengambil iklan perjudian tersebut akibat keadaan darurat yang dihadapinya termasuklah, ‘dikejar’ oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Hanya dua minggu sahaja kerana lembaga pengarah ada yang Islam dan bukan Islam. Lagi satu sebab, masa itu tengah kena kejar income tax (LHDN). Disebabkan itu yang saya ambil,” katanya.

Sementara itu, Isa juga menjelaskan punca kenapa dia terpaksa memecat salah seorang ahli kumpulannya.

“Dia tahu sebab saya ambil. Tapi dia memperbesarkan perkara tersebut. Walhal pada masa itu darurat,” jelasnya.

Menjengah diruangan komen, rata-rata warganet memberikan respons dengan mengatakan niat Youtuber berkenaan sama sekali tidak menghalalkan cara.

Terbaharu, berdasarkan pemerhatian XTRA, video berkenaan telahpun dipadam oleh individu tersebut tanpa menyatakan sebarang sebab kenapa beliau bertindak berkenaan.

Salma Syahbuddin