Categories: Trending

Wajah Malaysia Baharu Selepas Setahun

Genap setahun lakaran sejarah dipahat Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menawan Putrajaya selepas menumbangkan kerajaan enam dekad, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, pelbagai inisiatif dilakukan.

Tampuk pemerintahan kembali diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah 15 tahun meninggalkan politik, kini kembali semula atas dasar negara perlu diselamatkan daripada bencana kleptokrasi.

Ironinya, itu semua setahun yang lalu, sedikit demi sedikit perubahan yang beliau impikan sudah nampak akan hasilnya.

Walaupun ramai mengatakan kerajaan campuran ini tidak akan bertahan walaupun setahun, dan ada yang meramalkan ia adalah kerajaan yang terpendek dalam sejarah Malaysia, namun hari ini sudah membuktikan sebaliknya.

Kerjasama antara parti politik di bawah kerajaan campuran ini amat mengagumkan walaupun mempunyai ideologi berlainan.

Lebih memberangsangkan ialah dengan wujudnya pengiktirafan daripada kuasa besar dunia terhadap kerajaan baharu ini, seolah-olah mereka amat menantikan perubahan besar berlaku dalam negara ini.

Menerusi paparan video di atas, video ini memaparkan beberapa pencapaian kerajaan Pakatan Harapan dalam masa setahun. Antaranya inisiatif membantu golongan B40 membeli rumah menerusi Dasar Perumahan yang mana RM 1 bilion disediakan menerusi dasar perumahan, peruntukan RM 1.4 bilion untuk Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan projek menaiktaraf lapangan terbang, jalan raya dan projek jambatan Palekbang yang terbengkalai, program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan untuk para suri rumah dan banyak lagi.

Penerangan di atas menjelaskan Kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha memperbaiki taraf hidup rakyat Malaysia pada hari ini. Apa yang lebih penting, rakyat kini memiliki kebebasan dalam bersuara.

Antara kejayaan terbesar dilakukan selepas pembentukan Malaysia Baharu, rakyat tidak lagi terkongkong untuk hanya mengundi parti kerajaan yang memerintah.

Malah, mereka lebih berani untuk menyatakan bantahan jika kerajaan semasa membuat sebarang kesilapan.

Malah, kerajaan semasa mengklasifikasi semua isu berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi beraja diambil-alih serta-merta oleh pasukan khas Bukit Aman untuk siasatan dan pendakwaan, pasukan dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Ini merupakan tindakan pantas kerajaan semasa dalam menjaga kestabilan negara dalam masa sama membuktikan Malaysia Baharu di bawah pimpinan Dr Mahathir yang didukung rakyat, menjunjung prinsip demokrasi, hak bersuara tidak tersekat.

Inisiatif-inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India di mana usaha ini sedang dipergiatkan. Begitu juga inisiatif untuk kaum wanita turut dipertingkatkan.

Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan. Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan daripada pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini.

9 Mei 2018 adalah kebangkitan aman rakyat Malaysia. Sekali lagi, kepada pemimpin dan anggota DAP, rakan-rakan Pakatan Harapan dan semua rakyat Malaysia yang berjuang untuk membawa perubahan, kita tidak boleh melupakan mereka yang telah menyumbang ke arah ‘revolusi’ yang aman ini.- BH Online.

 

SGMS Enal