Categories: Acara

MSU angkat motif songket dalam larian antarabangsa

Kehadiran seramai 4,878 peserta yang kebanyakannya hadir menggayakan elemen songket termasuk ada yang mengenakan tanjak mahupun sepasang kebaya songket memeriahkan International Songket Run 2.0 anjuran Management & Science University (MSU), yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Larian kali kedua yang berjaya mengangkat warisan songket ke tahap tertinggi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Penyertaan Teramai Acara Larian Songket (The Largest Participation In A Songket Running Event).

Nurul Fatihah (dua dari kanan) menyampaikan sijil MBR kepada Prof Mohd Shukri (dua dari kiri) sambil diperhatikan Tengku Permaisuri Norashikin (tengah).

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata keunikan larian yang dianjurkan pertama kali tahun lalu itu bukan sahaja menarik kakitangan dan pelajar MSU untuk menyertainya, malah turut disertai pihak luar sehingga mendapat pengtikrafan MBR.

Beliau berkata, pengiktirafan itu adalah rekod ke-36 MSU dalam MBR, sekali gus menjadikan MSU sebagai institusi pengajian tinggi paling banyak tersenarai dalam MBR.

 “MSU melalui Jabatan Pembangunan Pelajar dan Akademik mengambil inisiatif menganjurkan International Songket Run 2.0 ini bagi mengangkat warisan songket yang sinonim dengan Malaysia khususnya dari segi pakaian dan kraf tangan.

“Sehubungan itu, pengiktirafan MBR ini turut mengiktiraf keunikan songket dan diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk terus memartabatkan songket,” katanya selepas Majlis Perasmian International Songket Run 2.0, di sini, hari ini.

Peserta melakukan senaman sebelum menyertai International Songket Run 2.0 di MSU Shah Alam. Gambar NSTP/FAIZ ANUAR

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli berangkat ke majlis pelepasan larian berkenaan.

Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid dan wakil MBR, Nurul Fatihah Mahmood

Penganjuran larian itu juga bermatlamat untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merangkumi pelaksanaan tujuh belas matlamat bagi pembangunan manusia sejagat.

Peserta mengenakan kebaya songket sambil berlari pada International Songket Run 2.0 anjuran MSU.

Larian meliputi jarak lima kilometer di sekitar Seksyen 13, Shah Alam itu bermula dan berakhir di kampus MSU. Selain peserta yang hadir dengan pelbagai elemen songket, kelibat pelajar asing di MSU yang menyertai larian itu dengan mengenakan busana songket turut memeriahkan acara.

Selain itu, beberapa keluarga yang juga ahli persatuan palsi serebrum hadir menyertai larian berkenaan bersama-sama anak mereka yang menghidap penyakit berkenaan.

Fadzlena Jafar