Categories: AcaraHiburanTrending

Berhabis Hampir RM200,000, Bulan Bintang Taja 10 Pelanggan Bertuah Pakej Umrah… Jawab Tuduhan Hadiah Kereta Mewah Hanya Sekadar Marketing

Usahawa baju Melayu jenama popular Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau mesra disapa Meri, 27, berhasrat untuk membawa 10 orang pelanggan bertuah menunaikan ibadah umrah pada tahun ini.

Jelas Meri, dia menganggap pemberian hadiah berbentuk pakej umrah itu lebih berharga berbanding hadiah mewah lain.

“Pada mulanya kami hanya menyediakan lima pemenang untuk pakej umrah di mana setiap pakej boleh membawa pasangan.

“Namun sambutan sangat menggalakkan dan perasaan dapat beri mereka tunaikan umrah itu sesuatu yang sangat berharga, tidak sama seperti menang kereta.

“Disebabkan itu kami tawarkan 10 pakej umrah di mana 20 orang akan berpeluang untuk tunaikan ibadah umrah. Harga bagi satu pakej ialah RM12,080 dan menjadikan jumlahnya RM241,600,” ujarnya kepada XTRA.

Dalam pada itu, Azzim sempat menjawab dakwaan mengenai dia akan menghadiahkan kereta Nissan GTR R35 kepada pelanggan yang bertuah sebelum ini sekadar ‘marketing’ semata-mata.

Susulan itu, Meri memaklumkan dia tidak bertindak membuat gimik sedemikian bagi menjaga imej duta jenama pakaiannya.

“Saya segan kalau kata nak bagi kereta Nissan GTR tapi lepas itu tak bagi, mana aku nak letak muka ni.

“Jadi, memang kena cari juga pemenang kereta itu, kalau tidak nanti jatuh air muka Hannah Delisha, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar,” katanya ketika ditemui di program Sinar Ramadan Bulan Bintang yang berlangsung di Surau Al Mukmin, Bandar Saujana Putra, Selangor, Sabtu lalu.

Untuk makluman, usahawan tersebut telah memperuntukkan perbelanjaan berjumlah hampir RM200,000 bagi kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi program Sinar Ramadan Bulan Bintang.

Hadir bersama pada program CSR tersebut ialah duta jenama seperti Hannah Delisha, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar bagi meluangkan masa menyediakan bubur lambuk kepada penduduk di sekitar Surau Al Mukmin.

Selain itu, program berkenaan merupakan kerjasama Bulan Bintang bersama Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang akan diadakan di tujuh buah lokasi di seluruh Malaysia.

Atiqah Johari