Categories: Eat Travel

90 juadah Korea untuk berbuka puasa di Hotel Hilton Garden Inn Puchong

Hotel Hilton Garden Inn Puchong menyajikan hidangan berbeza untuk berbuka sepanjang Ramadan ini dengan menampilkan lebih 90 juadah Korea yang unik khusus untuk penggemar K-pop dan K-drama.

Menyedari semakin ramai meminati budaya Korea Selatan yang unik khususnya dengan lambakan drama dan muzik dari negara itu, hotel yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur itu mencipta kelainan dengan menyajikan aneka juadah Korea.

Hotel Hilton Garden Inn Puchong menyajikan sajian masakan korea Tteok-bokki, (kiri) dan Japchae untuk berbuka puasa. NSTP/Amirudin Sahib.

Chef Sous hotel berkenaan, Shadieq Romainor, berkata juadah istimewa itu adalah sebahagian daripada menu antarabangsa yang disediakan pihak hotel bagi memikat selera pelanggan.

“Sepanjang Ramadan ini, kami menyediakan pelbagai masakan Korea seperti Tteok-bokki, iaitu nasi impit yang digoreng, japchae atau sun yang digoreng dengan sayur-sayuran dan gangjeong iaitu ayam goreng tradisional Korea.

Pelbagai sajian kampung disediakan untuk buka puasa Ramadan di Hilton Garden Inn Hotel. NSTP/Amirudin Sahib.

“Selain masakan Korea. Kami turut menyediakan masakan istimewa Malaysia dengan tema Selera Desa seperti gulai kawah, rendang, nasi impit, aneka masakan mi, sate dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Hotel Hilton Garden Inn Puchong turut menyediakan mi rebus kambing khusus untuk penggemar masakan kambing.

Berbeza dengan mi rebus biasa yang menggunakan daging lembu sebagai ramuan utama, hotel berkenaan menggunakan daging kambing yang pastinya membawa kelainan dari segi rasa.

Aneka kek dan kuih-muih tradisional turut dihidangkan. NSTP/Amirudin Sahib.

Pelanggan juga boleh menikmati aneka kuih-muih tradisional antaranya kuih koci, kauih lapis dan juga kuih moden seperti kek keju serta kek coklat.

Hidangan berbuka puasa di Hotel Hilton Garden Inn Puchong ini bermula 13 hingga 31 Mei dari jam 7.00 petang hingga 9.30 petang di Garden Grille pada harga RM80 nett seorang.

 

 

Fadzlena Jafar