Categories: Eat Travel

Keunikan Nasi Buloh Rotan tarikan baharu warga kota

Sebut sahaja nasi buluh pasti perkara pertama yang akan terlintas ialah Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah yang terletak di Sungkai, Perak. Restoran ini memang popular dengan keunikan nasinya yang dimasak, dikukus dan dihidangkan terus dalam buluh.

Bagaimanapun, warga kota kini tidak perlu lagi memandu jauh ke Perak kerana terdapat sebuah restoran yang turut menawarkan menu ‘rare’ ini.

Warga Kuala Lumpur dan Selangor kini boleh menyerbu Restoran Nasi Buloh Rotan yang terletak di Lot A-G-9 Kondominium Damai Hillpark, Jalan Damai Perdana 6/1F, Cheras.

Nasi Buloh yang dihidangkan di restoran ini cukup istimewa kerana nasi yang dibalut dengan daun lerek dikukus selama dua hingga tiga jam untuk menjadikan wangi dan memiliki rasa yang cukup menyelerakan.

Tambah menarik apabila menu ini turut dihidangkan dengan pelbagai lauk pauk mengikut citarasa asli kampung seperti Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Gulai Kawah Berasap, Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Api, Puyuh Goreng Berempah, Cencaru Sumbat, Ayam Gulai Warisan, Ikan Patin Asam Pedas, Gulai Siput Sedut, Perut Air Asam, Gulai Itik Salai, variasi kerabu dan sambal serta banyak lagi.

Restoran yang beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 12 tengah malam ini turut menawarkan menu masakan tomyam Songkhla. Antara menunya Nasi Goreng 2 Alam, Nasi goreng Kapal Selam, Tomyam Narathiwat, Mee Bandung Asli, Siakap Daun Lerek serta banyak lagi.

Selain hidangan utama dan berat, restoran ini juga turut menawarkan menu santai seperti Thai Steamboat, Keropok Lekor serta aneka minuman istimewa seperti Jus Buah Tabur, Teh Beng Buih dan Air Kelapa Kristal.

Bagi yang ingin merasai sendiri makanan yang ditawarkan di restoran ini, jangan lupa singgah di Damai Hillpark, Cheras. Anda juga boleh layari Facebook Nasi Buloh Rotan untuk membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut.

Kredit foto: Facebook Nasi Buloh Rotan

Ad Ops