Categories: Eat Travel

Taman Tema Star Wars: Galaxy’s Edge Bakal Dibuka Tahun Depan, Tak Sabarnya!

Pasti ramai yang tidak sabar-sabar menantikan pembukaan Taman Tema Star Wars yang dijangka berlaku tahun depan!

Apatah lagi selepas menonton video Disney menerusi teknologi drone yang menunjukkan perkembangan pembinaan taman tema itu, yang dikenali sebagai Star Wars: Galaxy’s Edge.

Malah, banyak agensi pelancongan yang bekerjasama dengan pihak berkenaan menjangkakan California bakal menjadi lokasi pilihan pelancong seluruh dunia tahun depan ekoran kewujudan taman tema berkenaan di daerah Anaheim itu.

Projek yang diumumkan Disney  pada 2013 itu mengenengahkan konsep Planet Batuu sekaligus bakal merealisasikan serta menghidupkan segala aksi yang dipapar di dalam filem sebelum ini ke dunia nyata.

Foto: Orange County Register

Video berkenaan menunjukkan pembinaan berkeluasan hampir 7 hektar yang sedang dijalankan bahkan usaha merealisasikan Planet Batuu, pangkalan di pinggir galaksi yang merupakan pusat pengembara dan penyeludup di seluruh alam semesta.

Selain di Anaheim, projek serupa turut diwujudkan di Disney World di Orlando, juga dijadualkan menemui pengunjung pada musim luruh 2019.

Kedua-dua taman ini akan memberi pengunjung peluang menaiki Millennium Falcon untuk mengikuti misi rahsia dan mengalami pertempuran di antara ‘First Order’ dan ‘The Resistance’.

Selain menampilkan dua permainan ikonik, taman tema ini turut menawarkan pengalaman membeli belah.

Sumber: The Mercury News

Sumber video: Youtube

 

Yanie Baharom