Categories: FeaturedGaya Hidup

Beberapa selebriti beramal bantu petugas barisan hadapan

Kebelakangan ini, laman sosial dipenuhi dengan hantaran yang memaparkan gambar masakan hari ini, malah ada juga warganet yang berkongsi paparan cara mereka memanfaatkan masa yang terluang bersama keluarga.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi inisiatif amal bagi membantu petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital termasuk polis dan tentera yang bertugas mengawal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Pendakwah, Ebit Lew, antara individu yang terpanggil untuk menyumbang dengan caranya sendiri. Beliau yang terkenal dengan jolokan pendakwah jalanan dalam kalangan gelandangan begitu prihatin dengan situasi yang dialami kakitangan perubatan di beberapa hospital akibat wabak yang sedang melanda negara.

Menerusi perkongsian dalam laman sosialnya, Ebit Lew dilihat mengunjungi kakitangan hospital untuk bertanya khabar, selain mendapatkan maklum balas mengenai keperluan yang boleh beliau bantu.

Paling menyentuh hati apabila ada kakitangan yang memohon supaya mendoakan mereka kuat untuk terus berkhidmat kepada negara.

Dalam satu hantaran lain, Ebit menyatakan beliau menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakan yang memaklumkan mengenai Hospital Tuanku Jaafar, Seremban memerlukan khemah untuk digunakan bagi saringan COVID-19.

Beliau bersama pasukannya kemudian menghantar khemah yang diperlukan kakitangan perubatan di hospital berkenaan, selain turut menyumbang peralatan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan televisyen ke hospital Sungai Buloh, klinik kesihatan Titiwangsa serta AU2 Keramat.

Selain Ebit, usahawan Datuk Aliff Syukri menerusi akaun laman sosialnya turut berkongsi inisitiafnya menyumbang makanan dan keperluan kepada petugas polis serta tentera yang membuat sekatan jalan raya.

Perkongsian kedua-dua personaliti itu mendapat maklum balas positif dalam kalangan pengikut mereka, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan sumbangan berkenaan.

Ramai warganet yang mempersoalkan tindakan mereka yang menyampaikan sendiri sumbangan berkenaan ketika tempoh PKP dilaksanakan. Beberapa komen dalam perkongsian itu tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan kerana meskipun berniat baik, tindakan mereka menyalahi PKP.

Berbeza pula dengan jutawan kosmetik, Datuk Alha Alfa. Menerusi perkongsian dalam akaun Instagram miliknya, beliau turut menyumbang penutup kepala pakai buang kepada beberapa hospital sekitar Lembah Klang.

Insiaitif berkenaan yang dibantu pelawak Jihan Muse menggunakan khidmat beberapa tukang jahit di Selangor, akan dihantar untuk membantu petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Alha Alfa turut berpesan sekiranya ingin memberi sumbangan, pastikan sumbangan berkenaan diberikan kepada badan bukan berkepentingan yang sah.

Shaidah Shafie