Categories: FeaturedTrending

Pelakon Hollywood, Adam Bond ucap terima kasih kepada petugas HKL

Mungkin ramai yang tidak tahu, pelakon Hollywood yang popular menerusi drama siri Finding Jesus, Adam Bond, antara seorang daripada 2,470 mangsa COVID-19 di Malaysia.

Adam yang berkunjung ke ibu negara untuk penggambaran sebuah filem, disahkan positif COVID-19 sejak 18 Mac lalu dan menjalani proses kuarantin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, pagi tadi Adam mendapat perkhabaran gembira daripada pihak hospital apabila sudah disahkan negatif COVID-19 dan kini menunggu ujian saringan kedua bagi memastikan dia benar-benar bebas daripada wabak itu.

“Jika ujian kedua mendapati saya negatif, kemungkinan saya sudah boleh keluar dari sini (hospital), Sabtu ini. Ini perkhabaran yang sangat menarik dan waktu yang indah,” katanya.

Melalui perkongsian video IGTV itu, Adam yang ditempatkan bersama pesakit tabligh di hospital itu, turut memuji kehebatan petugas kesihatan yang berjuang menyelamatkan nyawanya dan pesakit lain.

“Masih dikuarantin di wad pengasingan HKL. Apa yang boleh dikatakan doktor dan jururawat di sini adalah legenda!

“Saya sangat berterima kasih kerana merekalah adiwira saya. Merawat dan melayan saya seperti di rumah sendiri.

“Saya tak tahu rupa sebenar mereka, tetapi pujian diberikan kepada mereka yang menyelamatkan nyawa semua,” tulis Adam yang berkongsi perkembangan semasa di Instagram termasuk Twitternya.

Sementara itu, ramai yang mendoakan kesihatan Adam selain mengharapkan pelakon yang pernah membintangi filem Legally Blonde, The Mummy, The Dark Knight dan National Treasure: Book of Secrets itu beroleh hidayah.

Yanie Baharom