Ramai ibu bapa yang bimbang keadaan anak-anak apabila terkurung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.
Bagi mengelak kebosanan, ada ibu bapa yang memberikan gajet bagi si kecil bermain, namun keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan si kecil termasuk mungkin menyebabkan mereka obses terhadap gajet.
Pergerakan yang terhad dan tiada permainan di rumah bukan alasan untuk membiarkan si kecil kebosanan. Ada keluarga yang mengadakan pertandingan permainan seperti dam, catur, Monopoly atau Scrabble di rumah.
Tetapi bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak kecil, mungkin mereka cepat berasa bosan dengan permainan sebegitu.
Oleh itu, jika anda tinggal di rumah yang mempunyai tangga sama ada di flat, pangsapuri mahupun rumah dua tingkat, mungkin anda boleh mencuba idea kreatif yang digunakan beberapa keluarga di Barat ini.
Mereka membina permainan luncur di dalam rumah hanya menggunakan kotak dan pita pelekat.
Beberapa pengguna Instagram berkongsi cara mereka membina permainan itu di dalam rumah yang kelihatan amat menyeronokkan, sekali gus menggamit kenangan zaman kecil ketika di kampung dulu yang memanfaatkan apa sahaja bahan yang ada di rumah untuk dijadikan permainan.
Berikut dikongsikan beberapa cara untuk bermain luncur di dalam rumah:
1. Luncur menggunakan kotak
Cara ini sudah biasa digunakan sejak dulu lagi. Jika selama ini kotak dijadikan alas untuk meluncur di lereng bukit, kini boleh juga dimainkan di dalam rumah.
Begitu pun, ibu bapa digalakkan meletakkan tilam nipis di atas kotak supaya mengurangkan risiko hentakan pada sepanjang anak tangga ketika si kecil meluncur turun.
2. Kereta kotak
Permainan ini mengingatkan kita kepada permainan tradisional menggunakan upih untuk menarik kanak-kanak di keliling laman.
Kanak-kanak dulu yang tidak mempunyai permainan canggih seperti hari ini memanfaatkan upih daripada daun kelapa untuk bermain lumba tarik upih, namun zaman silih berganti kini kotak digunakan sebagai ganti upih.
3. Kotak dijadikan terowong luncur
Bagi membina terowong luncur ini cantumkan beberapa kotak berdasarkan panjang tangga di rumah anda menggunakan pita pelekat. Pastikan sambungan itu tidak menyekat pergerakan si kecil apabila mereka meluncur.
Untuk bermain permainan ini, gunakan tilam kecil atau bantal sebagai alas supaya kanak-kanak tidak berasa sakit apabila terhentak di sepanjang anak tangga.