Categories: FeaturedGaya Hidup

Kesalahan berbeza punca dua wakil rakyat hanya didenda RM1,000

Bukan hukuman dua darjat, sebaliknya tuduhan yang dikenakan ke atas dua wakil rakyat yang hangat diperkatakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berdasarkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP.

Itu penjelasan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila ditanya media mengenai perbezaan hukuman yang dikenakan terhadap kedua-dua tetamu kehormat (VVIP) itu dengan rakyat biasa yang dihukum penjara.

Ismail Sabri berkata, dalam kes berkenaan kesalahan yang dilakukan adalah dua perkara berbeza, sekali gus menyebabkan hukuman yang dikenakan juga berbeza berdasarkan tuduhan yang dikenakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. (Gambar BERNAMA)

“Ada rakyat yang mempertikai mengapa hukuman berbeza. Hal ini kerana tuduhan yang dikenakan adalah berbeza, sebagai contoh kedua-dua VVIP itu hanya bersalah dari segi SOP, bukan melanggar PKP.

“Saya sudah menyebutkan sebelum ini bahawa Wakil Rakyat merupakan individu yang dibenarkan untuk bertugas ketika PKP. Mereka perlu menjaga kepentingan rakyat di kawasan mereka, justeru tentu sahaja mereka perlu bebas bergerak untuk memberi bantuan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Semalam, media melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Perak, Razman Zakaria, masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah kerana melanggar Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Selain kedua-dua wakil rakyat itu, turut didakwa di mahkamah ialah 13 individu lain yang hadir pada program terbabit termasuk adik Dr Noor Azmi, iaitu Noor Azman yang masing-masing didenda RM1,000.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) dan Razman Zakaria (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik dan mengaku salah melanggar SOP PKP. (Gambar BERNAMA)

Ismail Sabri berkata, Kerajaan sentiasa adil termasuk memastikan tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara, malah tindakan akan diambil tanpa mengira kedudukan termasuk dalam kes kedua-dua wakil rakyat berkenaan.

“Kedua-dua wakil rakyat itu melakukan kesalahan dari segi SOP iaitu tidak melakukan penjarakan sosial dan sebagainya. Oleh itu, hukuman dikenakan adalah di bawah Akta 342 sahaja iaitu denda maksimum RM1,000 sedangkan mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk menetapkan denda lebih rendah, mungkin RM100 atau RM200 sahaja, tetapi dalam kes ini hukuman maksimum dikenakan.

“Bagi kes yang dihukuman penjara, saya sudah pernah sebut sebelum ini, mereka yang dipenjara bukan kerana kesalahan di bawah PKP semata-mata, tetapi kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaaan, misalnya ada yang ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam termasuk bergaduh dengan polis atau melawan polis.

“Ada juga yang melanggar sekatan jalan raya pihak berkuasa sehingga menyebabkan kecederaan kepada petugas barisan hadapan apabila mereka merempuh sekatan berkenaan. Jadi sebab itulah hukumannya berbeza, bukan hukuman dua darjat seperti yang cuba digambarkan sebahagian masyarakat,” katanya.

Kredit gambar utama: BERNAMA

Fadzlena Jafar

Recent Posts