Categories: FeaturedGaya Hidup

Malaysia mampu jadi peneraju dalam pengeluaran PPE

Pengusaha industri di negara ini perlu memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai pengeluar utama getah dunia dengan menukar model perniagaan bagi menghasilkan pelbagai keperluan peralatan pelindung diri (PPE).

Ketika ini, kekurangan bekalan PPE dikatakan menjadi antara masalah utama berikutan peningkatan penggunaannya sehingga 10 kali ganda di kebanyakan hospital bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bekalan PPE di hospital kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) masih mencukupi dan mampu menampung keperluan sehingga beberapa minggu lagi.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan ketika ini seharusnya untuk melihat bagaimana industri di negara ini boleh memanfaatkan sumber yang ada untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam pengeluaran PPE.

Sarung tangan antara PPE yang paling banyak digunakan petugas perubatan dan kesihatan bagi memerangi COVID-19. (Gambar NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI)

“Bekalan PPE bagi kegunaan semua hospital kendalian KKM masih mencukupi untuk lebih dua hingga empat minggu lagi bergantung pada peralatan, namun apa yang lebih penting kita belajar daripada penularan wabak ini ialah Malaysia perlu menjadi lebih berdaya saing.

“Sebagai contoh, kami dimaklumkan 63 peratus daripada industri sarung tangan global datang daripada Malaysia. Kita adalah pengeluar terbesar dalam sarung tangan, malah bagi PPE juga kita boleh jadi peneraju jika syarikat tempatan meningkatkan pengeluaran PPE atau menukar fungsi kilang dengan menghasilkan PPE,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya, pada 14 April lalu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media mengenai rintihan petugas kesihatan dalam laman sosial yang mendakwa hospital kini kekurangan bekalan PPE.

Petugas kesihatan di Pusat Perubatan UCI, California mengadakan bantahan pada 3 April lalu meminta kerajaan menyediakan bekalan PPE mencukupi bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 kepada petugas kesihatan. (Gambar AFP/Mario Tam)

Sejak penularan wabak COVID-19, Januari lalu, kebanyakan negara yang terkesan akibat wabak itu melaporkan kekurangan bekalan PPE seperti baju, sarung kasut, topeng muka, sarung tangan dan perisai muka yang agak kritikal.

Di Itali umpamanya, petugas kesihatan di negara itu dilaporkan terdedah pada risiko jangkitan COVID-19 berikutan kekurangan PPE di kebanyakan hospital negara berkenaan, lebih-lebih lagi apabila jumlah pesakit yang positif COVID-19 meningkat secara mendadak.

Berikutan itu, beberapa jenama fesyen dan haruman terkenal di Eropah mengumumkan  penukaran fungsi kilang jenama terbabit untuk menghasilkan PPE dan juga cecair pembasmi kuman bagi membantu petugas barisan hadapan.

Topeng muka khususnya N95 antara peralatan perlindungan penting, namun kebanyakan pengeluar tidak dapat menampung permintaan tinggi. (Gambar hiasan/Reuters/David Mercado)

Selain itu, Dr Noor Hisham, berkata syarikat tempatan juga perlu mengambil peluang untuk menghasilkan topeng muka N95 berikutan tidak banyak syarikat yang menghasilkan peralatan berkenaan.

“Kita juga mungkin melihat kepada penggunaan topeng yang akan menjadi lebih penting selepas ini. Ketika ini Malaysia mempunyai 42 syarikat temapatan yang mengeluarkan topeng mulut tiga lapisan.

“Oleh itu, mungkin kita perlu melihat bagaimana syarikat boleh menghasilkan topeng N95 untuk kegunaan dalam negara atau dieksport ke rantau ini khususnya dan dunia amnya,” katanya.

Topeng N95 ialah alat perlindungan pernafasan yang dikatakan direka khusus untuk disesuaikan dengan bentuk muka dan amat berkesan menapis partikel bawaan udara.

Fadzlena Jafar