Categories: FeaturedSihat

Menular Kawasaki tatkala pandemik COVID-19, ibu bapa mohon periksa keadaan anak!

Nama sejenis penyakit ini menyerupai sebuah jenama motosikal. Ibaratnya kalau menunggang motosikal laju-laju boleh membahayakan nyawa, begitulah juga ancaman penyakit ini terhadap manusia.

Penyakit apakah itu? Tidak lain tidak bukan adalah Kawasaki.

Penyakit ini jarang-jarang berlaku, namun kini sedang mengganas dan menyerang di beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pakar perubatan di AS dan Eropah memberi amaran pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan peningkatan kes penyakit Kawasaki dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Rawatan Intensif Pediatrik Hospital New York Morgan Stanley, Dr Steven Kernie, berkata di AS puluhan kanak-kanak kini mengalami penyakit itu yang menunjukkan simptom demam, ruam dan sakit perut.

“Lazimnya kami menyaksikan kanak-kanak datang dengan demam dan suhu tinggi yang dialami selama tiga atau empat hari… selalunya dengan ruam yang tersebar luas.

Foto: HITC

“Ruam itu mungkin di seluruh badan dan boleh berlaku di tapak tangan serta kaki,” jelasnya.

Pihak berkuasa di New York pada Rabu lalu, mengumumkan 64 kanak-kanak disyaki mengalami simptom penyakit Kawasaki, satu penyakit yang jarang berlaku.

Beberapa lagi kanak-kanak lain di AS juga dikenal pasti mengalami sindrom itu, termasuk seorang bayi enam bulan di California yang turut disahkan positif COVID-19.

Bagaimana untuk mengenal pasti penyakit Kawasaki?

Penyakit ini menjejaskan bahagian mulut, kulit dan nodus limfatik. Punca penyakit ini tidak diketahui dan ia selalu menyerang kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Apabila gejala-gejalanya dikesan awal, kanak-kanak boleh pulih dengan cepat dan dalam hanya beberapa hari sahaja. Tapi jika tidak dirawat sehingga 10 hari selepas mulanya gejala penyakit itu, jantung mereka boleh terjejas.

Komplikasi termasuklah keradangan saluran darah yang sangat membahayakan jika merebak ke arteri jantung. Penyakit itu juga juga boleh memberi kesan pada corak denyutan jantung normal, seperti aritmia serta fungsi injap jantung yang tidak normal.

Foto: The Sun

Doktor memberi contoh tindak balas badan terhadap keradangan itu adalah seperti tanda demam dan nodus limfatik yang bengkak.

Selepas keradangan itu reda, organ-organ badan akan kembali pulih kecuali jantung kanak-kanak itu.

Oleh sebab jantung kanak-kanak itu masih berdenyut dengan cepat, penyakit Kawasaki boleh menyerang arteri dan organ jantung.

Foto: Mummy D

Jika tidak dirawat, arteri akan menjadi radang dan boleh menyebabkan aneurisme dan serangan jantung apabila anak sudah dewasa nanti.

Yanie Baharom