Categories: FeaturedGaya Hidup

Nenek ini pertama kali bergelar ibu pada usia 66, bagaimana rupa anak perempuan itu selepas 15 tahun?

Pada tahun 2005, seorang wanita berstatus nenek, Adriana Iliescu telah mencipta rekod sebagai ibu tertua hamil di dunia dan sejarah dilakarnya itu diabadikan menerusi Guinness Book of Records.

Selepas setahun kemudian, rekodnya dirampas oleh seorang wanita Sepanyol, yang telah berjaya melahirkan pasangan bayi kembar pada usia 67.

Hampir 15 tahun kemudian, wanita kelahiran Romania itu sekali lagi menjadi perhatian, namun kali ini tumpuan media beralih arah kepada anak perempuan yang dikandungnya, Elisa.

Foto: Pinterest

Seindah namanya, Elisa membesar sebagai remaja yang cukup menawan, malah begitu akrab dengan ibunya yang kini berusia 81 tahun.

Sama seperti kebanyakan remaja sebaya dengannya, Elisa seorang gadis yang aktif, positif dan ramah. Bahkan dia tidak pernah peduli dengan tanggapan ramai mengenai ibunya yang acap kali disangka nenek, malah menyifatkan ibunya adalah yang terbaik!

Foto: Tacataca

Mengimbau kembali kisah Adriana Iliescu, perkahwinan pertamanya mampu bertahan empat tahun sahaja sebelum bercerai pada usia yang sangat muda iaitu 24 tahun.

Selepas episod memilukan itu, Adriana mengambil keputusan untuk hidup sendirian selama 50 tahun. Dia mendakwa bahawa dia selalu menginginkan anak, tetapi tidak mempunyai pasangan untuk menjadi bapa kepada anaknya.

Tambahan pula, dia terpaksa belajar dan bekerja keras kerana tiada sesiapa yang menanggungnya.

Pada tahun 2000, klinik Romania mula menawarkan teknologi kesuburan in vitro (IVF). Kaedah ini telah berjaya merealisasikan impian Adriana untuk bergelar ibu apabila disahkan hamil dan melahirkan anak sulungnya, Elisa.

Foto: Adpres

Media massa memberi liputan yang begitu meluas saat kelahiran Elisa, sehingga kisah mereka merebak ke seluruh dunia.

Masa berlalu dan wartawan berhenti mengejar Adriana dan membiarkan dia meluangkan masa dengan anak perempuannya. Wanita itu tinggal di sebuah flat kecil di Bucharest dan mendapat pencen sebanyak 250 EURO.

Mungkin dia juga mendapat wang daripada media massa untuk menceritakan kisahnya. Tetapi dia tidak mempunyai banyak wang ketika membesarkan anak perempuannya.

Meski kekurangan, Adriana berasa bahagia dengan adanya Elisa dan telah mencurahkan sepenuh kasih sayang buat anak gadisnya itu.

Yanie Baharom