Categories: FeaturedGaya Hidup

Patuhi SOP khusus untuk proses sanitasi ditetapkan KKM

Premis perniagaan yang ingin melakukan proses sanitasi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memulakan perniagaan atau operasi mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata SOP berkenaan dikeluarkan KKM bagi mengelakkan kesilapan dalam penggunaan bahan kimia yang digunakan untuk proses berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini. Foto: BERNAMA.

“Kita percaya banyak premis perniagaan sama ada swasta mahupun kerajaan yang ingin melakukan sanitasi sebelum premis perniagaan mereka memulakan operasi.

“Kita juga difahamkan ada premis yang menggunakan tukang cuci di pejabat masing-masing, namun mereka perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan dan penggunaan bahan kimia yang hendak digunakan perlu mendapat kelulusan daripada pihak KKM,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

BERKAITAN: Rakyat diminta terus patuhi SOP untuk hentikan rantaian COVID-19

Proses sanitasi hendaklah mengikut SOP dikeluarkan KKM – gambar hiasan. Foto: Bernama.

Sejak 30 Mac lalu , sebanyak 7,094 operasi sanitasi awam dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkumi 174 zon termasuk di 78 zon merah dan kuning.

Sebanyak 10,705 premis yang disanitasi terdiri daripada 2,619 pusat perniagaan, 3,876 (bangunan kerajaan), 1,579 (kawasan perumahan termasuk PPR) dan 2,282 adalah tempat awam serta 349 lagi pasar raya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 38 operasi sanitasi yang meliputi 26 zon di lima buah negeri dilakukan semalam iaitu di Sabah 21 operasi, Johor (7), Pahang (5), Kedah (3) dan di Sarawak (2).

Dapatkan nasihat daripada KKM untuk melakukan sanitasi awam – gambar hiasan. Foto: NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

“Kita tahu banyak premis yang ingin melakukan sendiri proses sanitasi berkenaan, tetapi mereka perlu mendapat panduan daripada KKM kerana proses sanitasi ini bukan proses mencuci seperti yang biasa dilakukan pencuci di pejabat.

“Proses sanitasi ini mempunyai panduan tertentu yang perlu diperolehi daripada KKM dan jika mempunyai sebarang persoalan mengenai SOP sanitasi, pemilik premis boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Shaidah Shafie