Categories: FeaturedGaya Hidup

Rakyat diminta terus patuhi SOP untuk hentikan rantaian COVID-19

Rakyat diminta patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan meskipun sudah menyediakan pelbagai perancangan untuk meraikan Aidilfitri yang akan disambut esok di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), orang ramai masih berpeluang meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
 Foto: BERNAMA

Katanya, meskipun sambutan Aidilfitri kali ini diraikan dalam keadaan terkawal dan perlu mematuhi SOP, apa yang dilakukan oleh Kerajaan itu adalah untuk kebaikan rakyat.

“Rakyat mungkin tidak selesa dengan pelaksanaan PKPB dan SOP, namun apa yang Kerajaan lakukan ini adalah untuk kepentingan kita bersama.

“Langkah ini juga bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kita dapat memutuskan rantaian dan penyebaran COVID-19 demi keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Masyarakat perlu patuhi SOP pada Aidilfitri bagi elak peningkatan kes baharu COVID-19

Sehingga 22 Mei 2020, sebanyak 63 kes dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar hospital sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 5,859 kes.

Namun begitu, pada tarikh sama terdapat 78 kes baharu yang dilaporkan menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,137.

Rakyat diminta patuhi SOP meskipun seronok berhari raya demi memutuskan rantaian COVID-19 – gambar hiasan. Foto NSTP/Owee Ah Chun,

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, rakyat yang sudah bersedia dengan sambutan Aidilfitri diminta memberi kerjasama penuh agar mematuhi PKPB dan SOP.

“Kita masih boleh menyambut Hari Raya bersama keluarga terdekat yang kita sayangi di dalam rumah kita sendiri.

“Bagaimanapun, kita perlu patuh dengan SOP iaitu tidak melebihi 20 individu dalam sambutan berkenaan,” katanya.

Shaidah Shafie