Categories: FeaturedOh Lawa

Rico Rinaldi Summeraya 2019, terilham daripada keindahan sang rama-rama

Di ruang legar sahaja – di mana berlangsungnya pendaftaran bagi tetamu yang hadir, sudah memberikan mood selamat datang ke taman rama-rama yang indah.

Ia membangkitkan perasaan teruja untuk melihat set sebenar pertunjukan fesyen Rico Rinaldi Summeraya 2019, yang berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebaik tirai dewan dibuka, hampir semua tetamu membuka telefon bimbit masing-masing untuk merakamkan keindahan dewan yang dijelmakan menjadi taman rama-rama yang diasyikkan lagi dengan kicauan burung dan cahaya bagaikan pancaran mentari di sebalik tumbuhan mekar.

Bersesuaian dengan aura yang dibawa, pereka fesyen Rico Rinaldi selaku penganjur acara itu, berkata setiap rekaan menterjemah simbolik kehidupan rama-rama yang sangat cantik dan hadir dengan pelbagai pilihan warna.

Memasuki usia kelapan pengeluaran koleksi Summeraya sejak 2012, Rico menampilkan 45 rekaan daripada tiga koleksi iaitu Ramadan, Bespoke dan Summeraya. Selain koleksi untuk wanita, Rico juga menghasilkan empat rekaan baju Melayu lelaki untuk Summeraya 2019.

Walaupun berada dalam kategori harga berbeza, setiap helaian direka teliti dengan kepelbagaian teknik cut off dan layering fabrik untuk memberikan penegasan pada bahagian lengan, skirt dan peplum dalam setiap rekaan.

 

Untuk Summeraya 2019 ini juga, Rico turut mengutamakan versatiliti dalam penggayaan dan tidak terhad hanya untuk satu musim.

“Setiap rekaan boleh disuai gayakan bukan hanya untuk Aidilfitri malah boleh juga dipadankan dengan pakaian harian. Ia juga praktikal dan fabriknya memberi keselesaan buat si pemakai,” katanya.

Jika tahun lalu ikon fesyen, Neelofa menjadi pilihan Rico sebagai wajah koleksi Summeraya, tahun ini adik kepada pengacara program Meletop itu, Ameera Khan pula disunting untuk menghiasi kempen Summeraya 2019. Berbekalkan lebih 1 juta pengikut di laman sosial Instagram (@littlemisskhan), pemilihan Ameera sebagai Face of Summeraya 2019 bertepatan dengan konsep yang cuba diketengahkan.

Berbesar hati menerima lamaran daripada pereka fesyen terkenal dan kreatif itu, Ameera menyifatkan koleksi yang dikeluarkan Rico Rinaldi kali ini sangat bertepatan dengan personalitinya.

“Saya tak perlu fikir panjang, apabila ditawarkan oleh Rico saya terus katakan ‘ya’! Sebab saya mahu merasai keseronokan seperti apa yang kakak saya (Neelofa) lalui sebelum ini.

“Koleksi ini sangat melambangkan diri saya. Effortlessly chic! Tidak keterlaluan dan bukan minimal. Inilah baju raya yang akan saya sarung tahun ini,” katanya.

Semua rekaan Summeraya 2018 boleh dibeli dengan harga kurang daripada RM430-RM500 (Summeraya), RM1,800-RM2,300 (Bespoke) dan RM299-RM329 (Ramadan).

Sebarang pembelian, boleh layari www.ricorinaldi.com, atau di www.fashionvalet.com. Koleksi Summeraya 2019 juga boleh didapati di Butik Rico Rinaldi di Plaza Damas dan Bangi Sentral.

Selain itu, Summeraya 2019 dijual di Physicon Malaysia (@physiconmalaysia) dan Robinsons Kuala Lumpur.

 

Antara selebriti dan selebriti media sosial yang hadir :

1. Datin Vivy Yusof

 

2. Lisa Surihani

 

3. Betty Rahmat

4. Samantha Kayty

5. Diana Anuar

 

6. Qalisha Ray

7. Liza Hanim

Yanie Baharom