Categories: FeaturedParenting

Serangga Masuk Ke Dalam Telinga Anak Anda? Ini Apa Yang Anda Perlu Buat

Bila anak anda bermain di luar kawasan rumah, ada potensi bagi serangga untuk masuk ke dalam telinganya. Waktu dia tidur pun ia boleh masuk.

Kadangkala, serangga akan mati apabila terperangkap, tapi jika ia kekal hidup, ia akan cuba mencari jalan keluar.

Situasi ini boleh menyebabkan anak anda berasa takut atau tak selesa. Lebih teruk jika serangga itu tiba-tiba menyengat. Ini sebabnya anda perlu keluarkan serangga itu secepat mungkin.

Foto: parenting.firstcry.com

Awas!

Jangan cuba keluarkan serangga tersebut dengan mencucuk telinga anak anda dengan cotton bud atau pengorek telinga. Anda mungkin akan menolaknya lebih ke dalam, ataupun rosakkan gegendang telinga.

Sebaliknya, ikuti cara-cara ringkas yang disyorkan oleh University Of Rochester Medical Center.

1. Tenangkan perasaan anak anda jika dia berasa takut, dan beritahu dia yang anda boleh membantu.

2. Sengetkan kepala anak anda (bahagian telinga yang mengandungi serangga itu ke bawah) dan goyangkannya perlahan-lahan. Jangan pukul pula kepalanya!

3. Jika anda rasa serangga itu masih hidup tapi masih tak nak keluar, tuangkan sedikit minyak sayur atau baby oil ke dalam salur telinga. Selalunya cara ini akan membunuh serangga tersebut.

4. Jika anda rasa serangga itu dah mati tapi tak boleh dikeluarkan, tuangkan sedikit air suam ke dalam salur telinga dengan menggunakan bulb syringe. Dengan cara ini, serangga itu akan timbul dan lebih mudahlah untuk anda keluarkannya.

Foto: healthyliving.azcentral.com

Awas!

Jika objek yang terperangkap di dalam telinga itu bukan serangga, jangan masukkan air! Contohnya, jika objek itu adalah kacang atau benih, ia akan mengembang bila terkena air. Lagi susah pula nak keluarkan nanti.

Rujuk kepada doktor jika…

  • Anak anda pernah ada masalah telinga sebelum ini.
  • Jika serangga itu masih tak dapat dikeluarkan setelah mencuba tip-tip di atas.
  • Jika anda hanya boleh keluarkan sebahagian daripada serangga itu.
  • Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan, seperti demam atau cecair keluar daripada telinga.

Sumber: University Of Rochester Medical Center

Ad Ops