Categories: FeaturedOh Lawa

Tetap glamor pada pagi Lebaran, meski terpaksa beraya cara PKP

Ketika seluruh negara berkurung di rumah sepanjang Perintah Kawalan pergerakan (PKP), pasti ramai yang masih belum menempah atau membeli pakaian bagi menyambut kedatangan Lebaran.

Secara logiknya, agak kurang kena gaya apabila bercerita mengenai hal ini. Bukan saja kerana belum melangkah masuk ke bulan Ramadan, bahkan dalam situasi sekarang harapan seluruh masyarakat cuma satu, agar wabak COVID-19 segera dihapuskan.

Hanya dengan kejayaan memutuskan rantaian COVID-19 ini, barulah dunia kembali aman dan Lebaran lebih bermakna apabila dapat berkumpul bersama keluarga serta sanak-saudara.

Berbalik pada topik persiapan Hari Raya, meskipun dibelenggu kebimbangan wabak COVID-19, takkan sampai tidak mahu beraya langsung? Dapat sehelai baju baharu pun jadilah, walaupun mungkin tahun ini terpaksa beraya cara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khusus kepada wanita yang tidak sempat menempah pakaian anda, bolehlah mendapatkan variasi busana Lebaran melalui pembelian atas talian.

Cuma seperkara yang anda perlu tahu, membeli-belah atas talian memerlukan pengguna membuat persiapan lebih awal untuk memastikan anda mendapat pakaian dan saiz yang diinginkan.

Rizalman for Zalora adalah antara jenama awal yang memperagakan koleksinya yang sudah mula dijual dalam laman e-dagang ini.

Begitu juga dengan jenama Petra dan Rico Rinaldi yang hadir dengan koleksi glamor dan praktikal, mempromosikan dalam laman sosial mereka.

Selain itu, anda pasti jatuh cinta dengan rekaan Leeyana Rahman dan Arared tahun ini, termasuk Azuredzua, yang tampil dengan rekaan menawan dan feminin.

Sekiranya anda seorang yang suka pada gaya minimalis, Mek Kembang Cotton tentu sahaja memenuhi cita rasa anda.

Mengetengahkan rekaan yang praktikal, fabrik yang digunakan bukan sahaja selesa, tetapi memberi suntikan ceria pada si pemakai.

Jika tidak percaya, boleh lihat kempen Lebaran jenama ini yang dijayakan oleh pelakon kecil molek, Ruhainies!

Berdasarkan pemerhatian penulis, rata-rata pereka fesyen cenderung pada fabrik bercorak tidak lagi kosong dan polos seperti sebelumnya.

Agak-agak sudah jumpa kurung yang berkenan di hati? Sebelum anda rambang mata, ingat pesanan ini berbelanja secara berhemah!

Yanie Baharom