Categories: FeaturedParenting

‘Tolonglah periksa beg sekolah anak-anak’ – saran seorang guru

Kebanyakan ibu bapa yang bekerja akan mengambil keputusan untuk menyerahkan semua tanggungjawab membabitkan pelajaran anak-anak sepenuhnya kepada guru, sedangkan peranan guru sekadar memantau pelajaran anak di sekolah. 

Selebihnya apabila anak anda pulang ke rumah, tanggungjawab itu kembali bertukar tangan kepada ibu bapa.

Berapa ramai agaknya ibu bapa yang melakukan pemeriksaan beg sekolah anak sebagai rutin harian?  

Seorang guru, Mohd Fadli Salleh, menyarankan ibu bapa untuk memeriksa beg sekolah anak setiap hari dan apa yang dikongsikannya ini amat berguna untuk ibu bapa.

Hal ini kerana apabila di sekolah, guru-guru akan melihat pelbagai masalah yang timbul dan pemantauan ibu bapa boleh mengelakkan sesuatu isu berlaku pada peringkat awal lagi.

Menurut Fadli, penting untuk memantau apa yang anak makan di sekolah, apa yang dibeli di sekolah, apa yang dipelajari di sekolah, bertanya mengenai kerja rumah diberikan guru dan ambil masa memeriksa beg sekolah anak.

Katanya keprihatinan ibu bapa boleh mengelakkan berlakunya pelbagai masalah seperti buli, tidak membuat kerja rumah dan mengambil barang rakan-rakan di sekolah. 

 

Berikut ialah perkongsian guru berkenaan:

Enam perkara wajib ibu bapa tanya setiap kali anak pulang dari sekolah.  

Foto: Educity1713

 

1.  Makan apa di sekolah?

Sangat penting untuk memantau pemakanan anak-anak agar mereka membeli makanan yang sihat. Lebih-lebih lagi, kita perlu tahu mungkin anak tidak makan hari itu atas beberapa sebab antaranya bekal makanan tumpah, duit hilang atau duit kena ‘pau’. 

Atau mungkin juga anak kita meminjam duit kawan kerana duit hilang. Anda perlu tahu dengan siapa dia pinjam, supaya anda boleh bayar semula esok hari. 

Sangat digalakkan ibu yang gemar memasak menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka. Ajar anak berkongsi dengan kawan mereka.

 

2. Beli apa disekolah?

Ibu bapa perlu tahu bagaimana anak mereka membelanjakan wang saku. Ada murid, sampai sahaja di sekolah, terus habiskan wang saku!

Ada yang membeli pelbagai benda tidak berfaedah. Sampai waktu rehat, dia dah kelaparan dan mula meminjam/meminta duit kawan.

Malah, ada murid berbulan-bulan tidak berbelanja di sekolah. Bukan kerana duit mereka dibelanjakan awal, sebaliknya ‘diminta’ oleh kawan mereka.

Ada kanak-kanak jenis pendiam, malah ibu bapa pula tidak bertanya. Maka kes sebegini lambat sampai ke pengetahuan cikgu untuk tindakan lanjut.

 

3. Belajar apa hari ini?

Penting soalan ini agar murid mengingati semula apa yang mereka belajar di sekolah. 

Apa yang guru ajar, kemudian diingatkan kembali oleh ibu bapa di rumah menjadikan pembelajaran mereka hari itu kekal dalam ingatan. Jika tidak, hanya menjadi memori sementara. 

 

4. Ada kerja rumah atau tidak?

 Soalan ini biasanya hampir semua ibu bapa akan bertanya kepada anak. Malangnya, mereka sekadar bertanya sahaja dan tidak membantu untuk membimbing anak membuat kerja rumah.

Lebih mengecewakan, ramai murid menipu ibu bapa bahawa tiada kerja rumah diberikan oleh guru. Ibu bapa pula terus percaya dengan kenyataan anak tadi. 

Periksa beg anak dan setiap buku untuk pastikan semua kerja rumah mereka disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

 

5. Tolong periksa beg anak

Tolonglah. Sesekali periksa beg anak-anak termasuk bekas pensil mereka atau alat tulis mereka. Ada murid dari golongan berada, tetapi berbulan-bulan datang ke sekolah tanpa alat tulis. Asyik meminjam saja kerjanya setiap hari.

Ada yang tidak membawa buku mengikut jadual. Dia main letak ikut suka dia saja. Tolonglah bantu anak memilih buku mengikut jadual disediakan.

Ada murid bawa mainan ke sekolah tanpa pengetahuan mak ayah, malah pernah berlaku murid bawa kucing dalam beg semata-mata hendak ditunjuk kepada kawan-kawan! Ini kisah benar ya, kata Fadli. 

 

6. Barang ini milik siapa?

Kalau perasan ada pertambahan alat tulis dan buku, soal anak siapa punya. Kembalikan semula kepada pemilik asal barang-barang itu.

Ada murid yang suka ambil barang kawan dan bawa pulang. Ada juga murid yang gemar meminta barang kawan. Kawan pula terpaksa beri kerana diugut, ‘kalau awak tak bagi saya pensil itu, saya tak nak kawan’.

 Ugutan ini walau nampak remeh, tetapi sangat berkesan kepada budak-budak. 

 

Sumber: GPSBestari

 

Yanie Baharom