Categories: Eat TravelFeatured

Video comel dan kreatif pasangan suami isteri memasak daging masak Ujang tarik perhatian

Seorang jejaka, Hedzmy Nadzrin menggunakan kepakarannya sebagai juruvideo untuk menghasilkan video memasak yang penuh kreatif.

Selain gaya suntingan dan penggunaan muzik latar belakang yang menarik, video memasak itu turut mendapat pujian ramai apabila Hedzmy menampilkan ibu bapanya yang sangat comel dan sempoi sebagai watak utama dalam video berkenaan.

Memang menghiburkan apabila melihat ibunya yang malu-malu dalam melontarkan skrip sambil diusik manja oleh anaknya itu. Antara video resipi yang dikongsi Hedzmy dengan menggunakan #dapurhemsem ialah daging masak Ujang, asam pedas ayam dan roti daging.

Satu daripada video resipi masakan perkongsian Hedzmy iaitu daging masak Ujang mendapat sebanyak 164, 600 tontonan sejak dikongsi menerusi Twitter miliknya pada 3 Mei lalu.

Rata-rata pengikut Twitter kagum dengan video berkenaan yang menggunakan lagu Tuyo nyanyian Rodrigo Amarante sebagai muzik latar belakang.

Di sini Hijab & Heels kongsikan resipi daging masak Ujang yang sangat mudah, namun menyelerakan. Menurut ibu Hedzmy, resipi berkenaan adalah resipi dari Kluang, Johor. Selamat mencuba!

Bahan-bahan:

1 kilogram daging
4 biji bawang besar dihiris bulat
5 ulas bawang putih
Satu genggam cili api (ikut tahap kepedasan yang diingini)
Sos tiram (jumlah mengikut cita rasa)

Cara penyediaan:

1. Masukkan minyak ke dalam kuali
2. Tumiskan bawang putih dan cili api yang sudah ditumbuk sehingga garing keemasan
3. Kemudian, masukkan sos tiram dan satu mangkuk air.
4. Masukkan daging yang sudah dipotong nipis dan masak sehingga empuk.
5. Letakkan gula secukup rasa. (ibu Hedzmy tidak letak garam kerana sos tiram sudah mempunyai rasa masin)
6. Akhir sekali, masukkan bawang dan gaul sehingga masak.

Kredit gambar: Hedzmy Nadzrin

Ad Ops