Categories: FeaturedSihat

Wanita perlu keluar dua kali seminggu untuk tingkat tahap kesihatan

Bilakah kali terakhir anda keluar dengan rakan baik anda? Minggu lepas? Sebulan yang lalu? Atau anda sendiri sudah lupa bila kali terakhir anda keluar minum atau berjalan di pusat beli-belah bersama-sama rakan.

Ya, tidak keterlaluan dikatakan bahawa wanita yang sudah berkahwin terutama dan mempunyai cahaya mata, jarang atau mungkin tidak mempunyai masa untuk keluar bersama-sama rakan sebaya.

Foto: Japan Info

Hal ini berlaku kerana mereka mungkin merasa bersalah untuk meninggalkan anak di rumah atau mungkin memilih berehat sahaja di rumah pada hujung minggu selepas penat melalui kesibukan tugas pada hari biasa.

Realitinya, anda perlu mencari ruang atau masa untuk diri sendiri. Percaya atau tidak, perjumpaan dengan teman rapat mampu memberi penstrukturan semula pada diri anda. Malah, berdasarkan kajian dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Oxford mendapati wanita patut keluar dua kali seminggu untuk meningkatkan tahap kesihatan diri.

Ketua penyelidik, Robin Dunbar yang juga ahli psikologi melaporkan bahawa kesihatan dan kesejahteraan wanita akan bertambah baik secara keseluruhan apabila wanita itu bersama-sama empat sahabat berjumpa dua kali seminggu untuk melakukan sesuatu.   

Foto: Pinterest

Menurut kajian, ‘sesuatu’ perkara itu termasuklah bergosip, bercakap mengenai saingan mereka (topik pilihan) dan minum bersama. Melakukan perkara terbabit mampu membuatkan wanita bersosial dan ketawa bersama. Umum mengetahui, ketawa adalah antara ubat yang terbaik.

Faedah lain yang diperoleh termasuklah dari segi kesihatan antaranya sistem imun lebih kuat, penurunan tahap kebimbangan, proses pemulihan penyakit yang lebih cepat serta peningkatan tahap sikap murah hati yang membuatkan wanita itu berasa lebih baik secara keseluruhan.

Foto: Freepik

Justeru, apa kata anda ambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama-sama teman rapat. Jika tidak dapat melakukannya dua kali seminggu, sekali seminggu sudah memadai sebagai permulaan. Percayalah, anda akan merasai sendiri perbezaan pada keesokan harinya dan merasakan hari anda menjadi lebih hebat.

Selain itu, ia sedikit sebanyak dapat membuatkan diri anda berasa lebih bahagia sekaligus membantu menjadikan anda seorang ibu, isteri dan wanita yang lebih baik secara keseluruhan. Apabila kita memperkayakan kehidupan kita dengan sesuatu yang membahagiakan, tahap kesihatan juga meningkat dan lebih baik.

Sumber: Creative Healthy Family

Ad Ops