Categories: Featured

Yuna Dedah Kisah Peribadi Di Dalam Filem Pendek Wanita Besi

Figura Malaya bernama Yunalis Zarai (Yuna), 32 ini diketahui ramai sebagai individu yang sangat eksklusif dan perahsia tentang hubungan peribadinya.

Kerana itu pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mengakui berasa malu untuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum apabila dia bersetuju melibatkan diri dalam sebuah filem pendek untuk produk Pantene berjudul Wanita Besi.

Singer songwriter yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu berkata, meski agak malu dan keberatan dia akhirnya bersetuju untuk menceritakan mengenai kisah zaman persekolahan dan pembabitannya dalam bidang seni kerana judul karya dinamakan Wanita Besi menampilkan sisi berbeza dan bukan mengisahkan jalan cerita yang tipikal.

“Jujurnya saya pada mulanya segan nak cerita dan berkongsi kisah peribadi saya tetapi untuk filem pendek ini saya tertarik kerana ia tidak mengisahkan jalan cerita yang tipikal.

“Sebaliknya ia mengangkat kehidupan saya sendiri waktu persekolahan yang suka berangan, menulis lirik selain pernah kena marah dengan guru.

“Kisah ini sangat peribadi buat saya tambahan masa mula-mula menceburkan diri sebagai penyanyi dan pemuzik ada yang mahu tukar imej saya dan meminta saya menanggalkan tudung,” katanya.

Foto: Wikipedia

Yuna ditemui ketika pelancaran filem pendek Wanita Besi dan memperkenalkan dia sebagai Duta Pantene Malaysia di Golden Screen Cinema, Mid Valley, di sini pada khamis.

Tambah penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini, selepas menonton hasil akhir filem pendek itu dia tersedar bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan dalaman dan selain perlu yakin dengan diri sendiri.

“Baru saya sedar maksud Wanita Besi itu… Kena cari kekuatan dalaman dan kena yakin dengan diri kita.

“Saya nak jadi diri sendiri tapi yang lebih baik. Jadi, saya tak boleh dengar cakap orang yang salah,” ujarnya.

Filem pendek berdurasi selama 5 hingga 10 minit itu akan mula ditayangkan di saluran Youtube Pantene pada 25 Jun ini.

Bercakap mengenai karier muziknya, Yuna memberitahu album terbaharunya sudah hampir 80 peratus siap dan dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Foto: SAYS

Sumber: mStar

Yanie Baharom