Categories: Filem

Di Sebalik Watak: Syafi Tee Sebagai Rudy Dalam ‘Impak Maksima Underground’

‘Impak Maksima Underground’ mengetengahkan kisah Rudy yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan permotoran jenis drift. Demi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang drifter profesional, Rudy sanggup bermula dari bawah sebagai pembantu am kepada Abang Moe di Aylezo Speedzone & Speedway, sebuah trek Go Kart dan akademi sukan permotoran.

Rudy telah mengambil peluang untuk turut menimba ilmu apabila kelas drift dijalankan oleh drifter profesional yang dikenali sebagai Abang Johan. Perjalanan untuk menggapai impiannya penuh dengan cabaran. Membawa watak Rudy juga bukanlah suatu perkara yang mudah.

Syafi Tee telah berkongsi pengalamannya memainkan watak jejaka cekal ini. Apabila ditanya tentang watak yang dibawanya, Rudy berkata, “Watak saya merupakan seorang budak kampung yang sangat minat perlumbaan tetapi ada kekangan wang dan kereta yang mantap untuk menyertai perlumbaan. Walau bagaimanapun, Rudy tetap yakin dia mampu kerana dia mempunyai skill memandu yang baik biarpun tiada kereta yang hebat.”

Dia telah tertarik untuk terlibat dalam filem ‘Impak Maksima Underground’ ini kerana dia sememangnya seorang penggemar seni mempertahankan diri dan dunia perlumbaan. Menurutnya, “Dulu saya (belajar) taekwondo. Jadi bila ada babak-babak aksi begini, saya tak sabar untuk menggayakan ilmu yang ada.” Tambahnya lagi, “Cerita aksi sebegini memang kegemaran saya dan bila saya sendiri berpeluang untuk beraksi dalam cerita begini saya rasa teruja untuk melakonkan dalam cerita tersebut. Inilah cerita yang saya sangat nantikan.”

Syafi tidak menafikan bahawa terdapat pelbagai cabaran untuk menjayakan siri ini. “Saya tiada pengalaman drift sebenarnya tetapi saya diberikan beberapa kali percubaan sebelum babak drift,” ujarnya. Syafi telah dibantu oleh seorang drifter yang berpengalaman. “Dia mengambil inisiatif untuk mengajar saya drifting sebelum masuk ke set. Dia menyuruh saya untuk duduk di tempat duduk penumpang untuk melihat dia sendiri drift. Boleh dikatakan seperti roh ingin tercabut apabila dia mengambil ‘corner’ untuk drift,” ceritanya lagi.

Setelah percubaan kelima, Syafi berjaya mendapat rentak untuk drift. “Saya amat teruja apabila saya mampu untuk drift dan membawanya ke dalam set.”

Selain cabaran membawa babak drift, “Cabaran utama adalah apabila saya kena betul-betul belajar berlawan sebelum masuk set dan kena ‘catch-up’ dengan semua pergerakan untuk mendapatkan aliran pertempuran yang betul pada masa tersebut.”

Pengalaman bekerja bersama pelakon tanah air lain serta krew yang hebat menjadi antara kenangan yang paling tidak boleh dilupakan untuk Syafi Tee. Selain itu, “Setiap lokasi yang dibawa untuk penggambaran membuatkan saya terpana kerana ia bukan sebarang lokasi yang kita buat penggambaran – tempatnya sangat menarik. Anda boleh lihat sendiri di dalam cerita ini nanti. Bagi saya, ini ialah projek paling besar saya pernah pegang setakat ini. Insya-Allah, mudah-mudahan ia mendapat sambutan yang baik.”

Syafi Tee juga menjelaskan bahawa filem ini wajib ditonton kerana “setiap inci cerita ini sangat menarik daripada aksi-aksi yang hebat dan nilai persahabatan yang boleh dipetik daripada cerita ini. Melihatkan cerita ini menjayakan semula ‘Impak Maksima’ yang digemari orang ramai, pastinya ini sesuatu yang sangat dinantikan rakyat Malaysia.”

Cerita Apa? ‘Impak Maksima Underground’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan