Categories: Filem

Iman Tanpa Makmum Martabat Karya Nusantara

Sudah ditayangkan di negara jiran pada bulan lalu, filem Imam Tanpa Makmum merupakan naskhah romantik komedi terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio dan bakal menemui peminat Malaysia bermula 30 November ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Onprima Studio, Mohd Shahir Sulaiman, pihaknya memilih untuk menjalinkan kerjasama ini kerana melihat Syakir Pictures memiliki misi dan visi yang sama dengan pihaknya iaitu ingin memartabatkan karya Nusantara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pihak kami amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Sakir Pictures menerusi karya yang disifatkan agak berbeza daripada kebanyakan karya seberang apatah lagi ia diarahkan oleh anak muda yang saya lihat mempunyai masa depan cukup cerah.

“Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang dengan lebih banyak genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air,” ujar Mohd Shahir.

Mengangkat tema nikah muda, filem Imam Tanpa Makmum terbitan dan arahan aktor, Syakir Daulay ini agak berbeza daripada kebanyakan naskhah dari negara seberang itu.

Tidak hanya sebagai pengarah dan penerbit, Syakir yang baru berusia 21 tahun juga memegang watak utama sebagai Imam dalam karya yang menelan kos penerbitan sekitar RM1.4 juta itu.

Memikul begitu banyak tanggungjawab, Syakir mengakui terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, namun demi merealisasikan impiannya, pelakon muda ini berani mengambil langkah untuk maju ke depan.

“Begitu banyak cabaran dan ramai juga yang menentang terutama keluarga. Kebanyakan mereka tidak yakin apakah anak muda seperti saya mamp membawa pulangan yang begitu banyak? Tetapi saya percaya apa yang diusahakan pasti akan membuahkan hasil. Tiada usaha yang sia-sia,” katanya.

Menyentuh tentang tema perkahwinan muda, menurut Syakir filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.

Filem Imam Tanpa Makmum akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 30 November 2023.

Afiq Kandi