Categories: Filem

Nik Amir Mustapha Tampil Dengan Karya Terbaru, Dalami Kisah Mangsa & Scammer Dalam Filem Dalang

Kes penipuan wang ringgit atau ‘scam’ yang semakin berleluasa memberi inspirasi buat pengarah filem, Nik Amir Mustapha untuk menghasilkan filem terbaharu yang berjudul Dalang.

Tampil dengan karya yang bergenre jenayah dan misteri, Nik Amir mahu mendalami kisah-kisah mangsa malah ‘scammer’ itu sendiri.

“Kisah ini diinspirasi dari hasil bacaan kes scammer yang banyak didengar berlaku dalam negara. Kebelakangan ini kita juga tahu ramai kena tipu dengan scammer ini.

“Jadi, Dalang adalah naskhah di mana saya mahu kupas siapa di belakang niat jahat dan baik. Dalam masa sama, ia juga keinginan saya untuk mendalami dan bermain dengan motivasi mangsa dan scammer itu sendiri.

“Namun, semua diketengahkan dalam kisah ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) negara, ia hanyalah isu yang saya pilih bila duduk bersama produksi.

“Kami sudah tengok kisah scammer sebelum ini, jadi saya sampaikan dalam naskhah ini,” jelasnya.

Meraih kejayaan menerusi filem Imaginur sebelum ini, Nik Amir optimis dengan Dalang yang menampilkan barisan pelakon yang hebat dan tiada kesukaran semasa pembikinan filem tersebut.

“Cabarannya boleh dikatakan senang disebabkan barisan pelakon dan saya berseronok hasilkan filem Dalang bersama mereka.

“Sebab kerja pengarah 60 peratus daripadanya adalah pelakon, sebab itulah kami pilih pelakon yang bagus. Alhamdulillah, semuanya bagus dan menghidupkan watak masing-masing dengan baik.

“Apatah lagi bekerja dengan pelakon dan pengarah, Aziz M Osman. Beliau seorang yang memberi kerjasama dan hadir sebagai pelakon, bukannya pengarah.

“Bagi saya, mereka lagi hebat berlakon, jadi saya gunakan kemahiran mereka dalam naskhah ini.

“Saya bersyukur dan bernasib baik dapat bekerja dengan barisan pelakon hebat ini,” katanya semasa ditemui di tayangan perdana filem Dalang di MBO Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Filem Dalang ini dibintangi oleh Luqman hafidz, Liyana Jasmay, Wan Raja, Nesa Idrus, Arash Mohamad, Aziz M Osman, Imuda, Idan Aedan, Megat Adli, Abi Madyan, Yuyun Hikmah dan Fadhli Masoot

Membongkar kebenaran sememangnya tugas hakiki seorang wartawan. Namun, bagaimana jika kebenaran dicari hanyalah hiasan yang dimanipulasi oleh dalang? Saksikan filem Dalang di platform penstriman, Tonton.

Maya Basir