Wartawan Hiburan Kritikal Di London, Fahmi Fadzil Salur Bantuan… Doakan Kembali Sembuh

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan beliau mengikuti rapat perkembangan berita wartawan hiburan, Fiza Kamarudin yang dilaporkan kritikal di sebuah hospital di London.

Menurut Fahmi, dia mengerahkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyalurkan bantuan kepada Fiza dan keluarga menerusi Tabung Kasih HAWANA.

“Saya mengikuti rapat perkembangan saudari Fiza yang kini kritikal di sebuah hospital di London.

“Saya telah minta pihak Bernama untuk menyalurkan bantuan kewangan segera kepada beliau serta suami dan anak-anak menerusi Tabung Kasih HAWANA,” tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Fahmi yang mewakili Kementerian Komunikasi turut mendoakan agar Fiza kembali sembuh.

“Di pihak Kementerian Komunikasi, kami turut mendoakan beliau sembuh dan dipermudahkan segala urusan. Amin,” tutupnya.

Terdahulu, Fiza dilaporkan rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam beberapa jam sebelum dijadualkan pulang ke tanah air.

Difahamkan, keberadaan Fiza di Kota London adalah tujuan melancong bersama keluarga menerusi sebuah tajaan.

Dia, suami dan dua anaknya berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Maybank 5620 2169 1966 atas nama Mohammad Sudirman (Penolong Setiausaha WHAM).

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Hiburan Kritikal Di London, WHAM Lancar Tabung Kecemasan Buat Fiza Kamarudin

Khairil Khusyairi